by

Perak rekod RM52.65 juta kes tipu urusan jual beli

News Sources:

IPOH: Perak merekodkan peningkatan kes jenayah penipuan dan penyelewengan berkaitan urusan jual beli membabitkan kerugian sebanyak RM52.65 juta sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, jumlah kerugian dicatatkan membabitkan 1,919 laporan kes diterima.

Menurut beliau, rekod tersebut menunjukkan peningkatan 95 kes atau 5.2 peratus dalam tempoh sama pada tahun 2019.

“Pada tahun lalu, sebanyak RM52,657,851.50 kerugian direkodkan berkaitan penipuan dan penyelewengan urusan jual beli negeri ini.

“Peningkatan kes disebabkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap trend jual beli dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” kata beliau pada Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini. 

Mior Faridalathrash berkata, Perak bagaimanapun mencatatkan penurunan jenayah indeks keseluruhan sebanyak 1,523 kes dengan merekodkan 3,388 kes pada tahun lalu berbanding 4,911 kes pada tahun 2019.

Beliau berkata, jenayah harta benda merekodkan penurunan 1,212 kes iaitu 2,598 kes pada tahun lalu berbanding 3,810 kes dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

“Jumlah jenayah kekerasan turut merekodkan penurunan sebanyak 311 kes atau 28.2 peratus dengan 790 kes pada tahun 2020 berbanding 1,101 kes pada 2019,” katanya.

Tambah beliau, bagi jenayah indeks di daerah-daerah, kesemua daerah mencatatkan penurunan dengan tiga daerah merekodkan penurunan paling tinggi iaitu Kampar, Ipoh dan Muallim.

“Kontinjen Perak juga mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan iaitu sebanyak 2,480 kes atau 73.2 peratus bagi penyelesaian kes keseluruhan di kontinjen.

“Ini sekali gus menjadikan Perak berada di tempat kedua selepas Melaka dalam jenayah indeks dan juga tempat kedua bagi kadar penyelesaian kes bagi seluruh kontinjen,” katanya.- UTUSAN

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed