by

Perayaan Tahun Baharu Cina di pusat jagaan orang tua disambut sederhana

News Sources:

SEREMBAN: Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini pastinya berbeza buat 40 penghuni Pusat Jagaan Orang Tua Weng Da, Taman SEA, dekat sini.

Jika kebiasaannya, menjelang perayaan tersebut banyak pihak sama ada daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan hadir meraikan penghuninya.

Namun, jelas Pengurus Pusat Jagaan Orang Tua Weng Da, Liew Hong Chen, sambutan tahun ini agak suram dengan salah satu faktornya adalah kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ketika ini.

“Selalunya ramai yang hadir meraikan warga emas ini. Mereka datang berikan angpau, buah limau dan sebagainya namun tahun ini berbeza sangat. Ada juga beberapa pihak yang memberikan sumbangan kewangan terus ke akaun kami tapi tahun ini ia berkurangan.

“Ekoran PKP ketika ini banyak pihak terutama dari Lembah Kelang tidak dapat datang ke Seremban untuk meraikan orang tua di sini. Lagipun kita perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan mengehadkan kehadiran orang ramai apatah lagi penghuninya sudah berumur lanjut, kami tidak mahu mengambil risiko,” katanya.

Dia ditemui pemberita selepas program sumbangan ‘Pun Choy’ dan angpau kepada warga emas oleh Crisis Relief Squad MCA (CRSM) Bahagian Rasah di pusat jagaan tersebut hari ini.

Menurut Hong Chen, ekoran penularan Covid-19, pusat jagaan tersebut kini menghadapi masalah kewangan kerana sumbangan daripada banyak pihak sebelum ini berkurangan.

“Pandemik Covid-19 ini menyebabkan banyak syarikat yang sebelum ini selalu memberikan sumbangan sudah tidak menyumbang, mereka juga menghadapi masalah dengan perniagaan. Saya anggarkan hampir 80 peratus berkurangan sumbangan yang kami terima.

“Separuh daripada penghuni di sini sudah tidak mempunyai keluarga lagi manakala selebihnya pula keluarga mereka juga terdiri daripada golongan yang tidak berkemampuan. Jadi memang kami mengharapkan sumbangan daripada orang ramai ini. Hampir RM10,000 saya perlukan sebulan untuk menampung perbelanjaan di sini termasuk dari segi makan minum penghuni dan bayaran gaji tiga orang pekerja,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua CRSM Bahagian Rasah, Dafney Ho berkata, program sumbangan meraikan penghuni warga emas merupakan program tahunan yang dijalankan oleh pihaknya.

“Tahun ini adalah tahun ke-16 kami menjalankan program sempena Tahun Baharu Cina bagi meraikan penghuni di pusat penjagaan orang tua, rumah anak yatim dan fakir miskin.

“Selain pemberian angpau dan buah limau mandarin kepada penghuni di sini, kami sediakan juga ‘Pen Cai’ atau dalam bahasa Kantonis ‘Pun Choy’ iaitu menu istimewa yang merupakan hidangan makan besar masyarakat Cina yang iasanya dimakan sehari sebelum Tahun Baharu Cina,” katanya.

Menurutnya, sumbangan pihaknya itu turut mendapat kerjasama MCA Bahagian Rasah, Persatuan Ai Xin Negeri Sembilan dan Tokong Hai Nan Guan Yin Taman Marida, Senawang dekat sini. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed