by

Perlu akta khas halang semua bentuk gangguan

News Sources:

SAUDARA PENGARANG,

kita memerlukan peruntukan undang-undang khusus bagi menghentikan semua jenis gangguan yang boleh berlaku kepada mana-mana pihak dan bukan mewujudkan akta bagi membendung gangguan berbentuk seksual sahaja.

Apa maksud gangguan? Gangguan boleh ditakrifkan sebagai sebarang jenis perkataan atau perbuatan yang boleh menyakiti hati dan perasaan orang lain. Gangguan ini boleh berlaku secara lisan, penulisan atau tindakan yang boleh mengundang perasaan tidak puas hati orang lain. Dengan kemunculan pelbagai jenis teknologi komunikasi moden pada masa kini, gangguan juga boleh berlaku secara dalam talian.

Gangguan terbabit sama ada secara fizikal, mental ataupun emosi boleh memberi kesan buruk yang sama dengan gangguan seksual terhadap diri mangsa. Antara gangguan berbentuk fizikal adalah mencubit, menampar, menendang dan meludah.

Terdapat juga gangguan berbentuk mental dan emosi seperti mengeluarkan kata-kata kesat atau perkataan menghina dan menjatuhkan reputasi serta maruah mangsa. Ia juga boleh meliputi salah laku ataupun gangguan menghendap dan mengintip.

Gangguan jenis ini juga merangkumi perbuatan mencela, mengejek dan menghina penampilan fizikal mangsa. Terdapat juga gangguan berbentuk diskriminasi. Gangguan diskriminasi boleh dilakukan terhadap diri mangsa kerana faktor usia, latar belakang, warna kulit, bangsa dan agama.

Terdapat juga gangguan berbentuk psikologi di mana sebarang jenis perbuatan atau kata-kata kesat yang boleh memberi impak mendalam terhadap mental dan emosi mangsa. Sebarang jenis aktiviti membuli termasuk buli siber juga adalah gangguan yang perlu dibendung dan dihentikan dengan segera.

Usaha bagi membendung dan menghentikan gangguan seksual tidak memadai sekiranya kita masih membiarkan banyak gangguan lain dilakukan dalam masyarakat kita yang juga akan memberi kesan negatif yang sama terhadap mangsa.

Dengan adanya sebuah akta khusus, tiada pihak di luar sana yang berani untuk melakukan sebarang jenis gangguan kepada orang lain. Melalui undang-undang khusus ini juga, mangsa dapat mengunakan saluran undang-undang yang lebih berkesan bagi menuntut sebarang jenis pampasan dan melindungi diri mereka daripada sebarang jenis gangguan.

Draf cadangan undang-undang gangguan seksual yang dikemukakan kepada kerajaan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh dilihat semula dengan memperluaskan skop definisi gangguan itu sendiri dan bukan sekadar memberi tumpuan terhadap gangguan berbentuk seksual sahaja.

Kerajaan boleh membentuk sebuah jawatan kuasa khas bagi melihat cadangan yang telah dikemukakan dengan lebih teliti. Pada masa sama, rujukan boleh dilakukan dengan melihat kepada peruntukan undang-undang di negara lain seperti Harassment Act 1997 di New Zealand dan Protection from Harassment Act 1997 di United Kingdom.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Nilai, Negeri Sembilan





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed