by

Permintaan daging kambing tempatan meningkat

News Sources:

JOHOR BAHRU: Pembongkaran isu kartel daging sejuk beku import pada awal Disember lalu telah membuka peluang untuk penternak daging tempatan meningkatkan hasil jualan mereka bagi memenuhi permintaan pasaran terhadap produk itu ketika ini.

Antara syarikat yang mendapat tempias positif ekoran kejadian itu termasuklah syarikat Osman Goat Farm di Kangkar Tebrau di sini yang telah bertapak sejak 31 tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Osman Cheya Kutty berkata, sejak pendedahan kes itu, hasil jualan mereka meningkat kepada tiga kali ganda berbanding sebelumnya.

Jelasnya, daripada hanya tiga ekor kambing sehari yang terjual kepada sembilan ekor sehari ketika ini.

“Saya percaya trend peningkatan ini didorong oleh kesedaran masyarakat yang ingin mendapatkan daging yang diyakini halal. 

“Walaupun harga daging kambing tempatan segar dijual lebih mahal iaitu sekitar RM60 sekilogram berbanding RM25 bagi daging import sejuk beku, namun kebanyakan masyarakat sanggup membelinya.

“Ini kerana mereka sudah sedar kepentingan mendapatkan daging daripada sumber yang diyakini halal,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di premisnya di sini hari ini.

Tambahnya, perkara ini dapat dilihat apabila pembeli mula bertanyakan tentang sijil halal dimilikinya pihaknya sebelum membuat pembelian.

Pada 2 Disember lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mendedahkan kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Ekoran pembongkaran itu, empat individu terdiri daripada tiga pengarah dua syarikat berlainan dan seorang kerani dikenakan reman oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut Osman lagi, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk memenuhi peningkatan permintaan daging kambing berikutan syarikatnya memiliki kira-kira 3,000 ekor kambing pada masa ini.

“Ladang ternakan kami di Seelong, Kulai dan di sini menempatkan dua baka kambing tempatan iaitu jenis Jamna Pari dan Boer Goat serta empat baka kambing biri-biri yang diimport dari Australia iaitu Damara, Merino, Vanroy dan Awassi.

“Buat masa ini, bekalan mencukupi untuk memenuhi peningkatan permintaan yang diterima dari seluruh Johor,” katanya sambil memaklumkan pihaknya mempunyai empat penyembelih bertauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed