by

Permohonan Najib gugur Sri Ram, 27 Januari

News Sources:

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib untuk mengugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kesnya yang didakwa meminda laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didengar pada 27 Januari ini.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, Catherine Nicholas sewaktu pengurusan kes di kamar hakim di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Mustafa P. Kunyalam bagi pihak pendakwaan dan peguam bela, Nur Syahirah Hanapiah bagi pihak Najib.

Pada 12 Jun lalu, Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan tersebut pada ketika perbicaraan kes meminda laporan itu sedang dijalankan.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika itu dilaporkan memberitahu, pihaknya memfailkan permohonan tersebut bersama afidavit sokongan daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Mohamed Apandi pada 10 Jun 2020 memuat naik hantaran di Facebook mendakwa Sri Ram telah bertemu dengannya pada Januari 2018 dan mendakwa Sri Ram telah menyampaikan mesej agar Najib ditangkap.

Najib, 68, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan itu untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Setakat ini tujuh saksi pendakwaan telah memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Perbicaraan kes itu dijadualkan untuk bersambung semula pada 18 Januari ini. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed