by

Permohonan rentas sempadan diteliti elak salah guna

News Sources:

IPOH: Pemeriksaan teliti dilakukan polis bagi memastikan mereka yang memohon kebenaran untuk merentas daerah dan negeri tidak menyalahgunakan kelulusan yang diberikan.

Malah tapisan untuk memberikan kelulusan dilakukan secara terperinci pada peringkat balai polis iaitu semasa permohonan dikemukakan.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali berkata, kebenaran hanya diberi setelah pihak polis berpuas hati dengan tujuan perjalanan tersebut.

Menurut beliau, sehubungan itu orang ramai dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan kebenaran, contohnya untuk pulang ke kampung atau bukan mengikut seperti yang dimohon.

“Tidak timbul masalah dalam hal ini kerana kita akan tentukan rentas sempadan sama ada dalam negeri atau pada jarak 10 kilometer yang dibenarkan di mana kita akan buat pemeriksaan teliti.

“Menjelang sambutan cuti perayaan ini juga kita ingatkan orang ramai agar jangan ambil kesempatan untuk sengaja mohon rentas sempadan untuk bercuti atau berjalan-jalan.

“Polis tetap dengan peraturan sedia ada dan buat pemeriksaan teliti dan jika didapati tiada alasan konkrit mereka tidak akan melepasi sekatan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa meninjau sekatan jalan raya pada Program Jeneral Turun Padang di Jalan Kuala Kangsar di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abd. Aziz.

Program ‘Jeneral Turun Padang’ yang melibatkan pegawai kanan Bukit Aman melawat lokasi sekatan jalan raya adalah untuk melihat aspek penambahbaikan dan kebajikan anggota polis yang bertugas di lapangan.

Ia penting untuk memberi semangat kepada anggota dan pegawai yang bekerja dalam panas dan hujan dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ketika ini operasi sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan di Ipoh melibatkan penugasan seramai 118 pegawai dan anggota polis dibantu 33 anggota tentera, Jabatan Sukarelawan Rakyat (24) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (10).

Dalam pada itu kata Kasuahdi, kebenaran operasi lebih banyak sektor perniagaan pada masa ini memerlukan orang ramai untuk sama-sama memainkan peranan membantu pihak berkuasa mengekang Covid-19.

“Selain melakukan kawalan kendiri, masyarakat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dan tidak lagi boleh bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata,” katanya.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed