by

Pertimbang semula pemberian terus kepada konsesi

News Sources:

PONTIAN: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor (PKMMNJ) mendakwa pemberian terus projek konsesi menyebabkan ramai kontraktor akan gulung tikar kerana tiada pekerjaan.

Yang Dipertuanya, Mahmood Amir berkata, mengambil contoh walaupun kerajaan Johor memperoleh peruntukan sebanyak RM600 juta daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) namun ia terus disalurkan kepada pihak konsesi.

Katanya, begitu juga dengan peruntukan RM260 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi tujuan penyelenggaraan jalan yang turut disalurkan terus kepada pihak konsesi menyebabkan kontraktor tidak mendapat apa-apa peluang pekerjaan.

Menurut beliau, jika kaedah seperti itu terus dilakukan, tiada ertinya pemberian lesen kelas G1 tetapi tidak mempunyai sebarang peluang projek termasuk dalam kalangan kontraktor yang sedia ada.

“Sekalipun inginkan kerja-kerja, mereka perlu melalui konsesi yang tentunya kontraktor tidak mendapat keuntungan yang sepatutnya kerana terpaksa melalui dua peringkat tapisan,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Kursus Personal Binaan Tred Building Decorative Painting di Kompleks Usahawan Hening Cipta di sini hari ini.

Tambah Mahmood, kini terdapat kira-kira 4,496 kontraktor bumiputera kelas G1 baharu memperoleh lesen tersebut daripada keseluruhan 7,756 kontraktor dengan Pontian memiliki seramai 253 kontraktor.

“Kami tidak menghalang kerajaan untuk memberikan lesen kelas G1 tetapi perlu melihat adakah mereka mampu mendapat peluang pekerjaan bagi projek di bawah RM200,000,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap kerajaan membenarkan pekerja asing yang pulang ke negara asal mereka seperti Indonesia dibenarkan kembali untuk bekerja di sektor pembinaan, penyelenggaraan dan sebagainya.

Katanya, kekurangan tenaga pekerja menyebabkan ramai kontraktor mengeluh kerana ketiadaan pekerja untuk menyiapkan kerja yang ditawarkan atau menolaknya kerana takut tidak dapat melaksanakan mengikut tempoh diberikan.

“Isu ini sebenarnya serius kerana bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh negara kerana ramai kontraktor tidak mampu menyiapkan projek kerana kekurangan sumber tenaga yang mencukupi,” jelasnya.

Selain isu pekerjaan, kenaikan harga barang yang berlaku pada setiap minggu juga telah menyebabkan ramai kontraktor takut untuk menyertai sebut harga atau tender kerana tidak mendapat kadar harga yang sebenar.

Oleh itu, pihaknya meminta kerajaan mengaktifkan semula kaedah harga tambahan bagi membolehkan kontraktor menuntut balik harga lebihan yang berlaku selepas tender atau sebut harga diluluskan.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed