by

Pertingkat Operasi SAR seorang lagi mangsa bot nelayan karam

News Sources:

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri mengarahkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dipertingkatkan bagi mengesan lokasi seorang lagi mangsa yang masih belum ditemui susulan kejadian sebuah bot nelayan tempatan yang karam berdekatan Pulau Perhentian, Terengganu, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bagi tujuan tersebut, aset-aset strategik milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) seperti kapal maritim KM AMAMAH, bot laut KILAT 28 dan pesawat udara AW139 telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Ini termasuk katanya, menggerakkan bersama aset-aset milik agensi kerajaan yang lain daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Taman Laut (JTL).

“Kementerian Dalam Negeri akan terus memantau situasi tersebut dengan rapat dari semasa ke semasa dan menyelaras Operasi Mencari dan Menyelamat secara bersepadu bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kira-kira pukul 8.45 pagi tadi, empat nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot karam semalam ditemukan selamat di Pantai Coral View, Pulau Perhentian Besar, Besut manakala seorang lagi masih hilang.

Mangsa ditemui lengkap memakai jaket keselamatan oleh penduduk kampung dan dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa yang selamat adalah tekong bot, Tuan Azaha Tengku Long, 47, dan tiga awak-awak iaitu Mohd. Azri Mohd. Rosdi, 28; Tuan Azrizal Tuan Azhar, 19, dan seorang lagi dikenali sebagai Ujang, 40.

Operasi mencari seorang lagi awak-awak dikenali sebagai Saari Saleh 40-an masih diteruskan.

Terdahulu, dalam kejadian pukul 1 petang semalam di lokasi kurang empat batu nautika barat daya Pulau Perhatian, bot dinaiki lima nelayan karam berhampiran perairan Pulau Perhentian, Besut. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed