by

PGA rampas 9 tan ayam beku

News Sources:

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas ayam beku seberat 9.84 tan bernilai RM98,400 dipercayai dibawa masuk ke negara ini secara salah selepas menahan sebuah lori di Jalan Banggol Kulim di sini, petang semalam.

Dalam serbuan pukul 4.50 petang itu, anggota PGA turut menahan pemandu lori berusia 24 tahun bagi membantu siasatan.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM368,400.

Menurutnya, kejayaan rampasan itu adalah hasil maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyeludupan.

“Sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota membuat pemerhatian ke atas sebuah lori mencurigakan yang keluar daripada Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

“Anggota PGA terus mengekori lori  tersebut sebelum menahannya untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azhari memberitahu, sejurus berjaya menahan lori itu anggota PGA meminta pemandu supaya mengemukakan dokumen pengenalan diri serta invois berkaitan muatan barangan yang dibawa, namun, wujud keraguan.

“Jadi, kita bawa balik kenderaan itu ke Komtak PGA di Taman Bakti untuk pemeriksaan lanjut dan mendapati kuantiti kotak berisi ayam beku lebih banyak berbanding dinyatakan dalam dokumen yang dikemukakan,” ujarnya.

Azhari berkata, berdasarkan siasatan awal,  ayam beku berkenaan dipercayai dibawa masuk secara salah mengelak daripada membayar cukai tambahan.

Kesemua barangan dirampas kemudian dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed