by

Pinda akta, elak isu manipulasi harga dan pengedaran BPS

News Sources:

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menetapkan harga siling Benih Padi Sah (BPS) di paras maksimum sebanyak RM35 per beg kepada pesawah bagi tahun ini.

Ketua Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras kementerian itu, Azman Mahmood berkata, penetapan harga siling itu bagi mengelakkan manipulasi BPS dan harga lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak di pintu kilang. 

Katanya, ia susulan pihak kementerian mengesan ada penjualan benih padi secara haram oleh ejen atau orang tengah kepada pesawah tanpa mempunyai lesen yang sah daripada Kawal Selia Padi dan Beras. 

“Mekanisme itu dibuat berikutan isu sama yang berulang pada setiap musim penanaman padi hingga menyebabkan berlaku isu kelewatan penghantaran benih padi dan harga dibeli pesawah tidak dikawal sehingga dijual pada harga RM33 hingga RM60 setiap 20 kilogram (kg) benih padi. 

“Bagi mengatasi isu manipulasi harga dan pengedaran benih padi, kementerian telah 

melaksanakan pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) di bawah Seksyen 4(2) melibatkan empat perkara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, selain penetapan harga siling BPS di paras maksimum sebanyak RM35, kementerian melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pemborong tunggal.

“Lesen peruncit hanya dikeluarkan kepada 145 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berkaitan tanaman padi di Semenanjung Malaysia.

“Melaksanakan pengawasan kualiti di sepanjang rantaian nilai benih padi sah,” katanya.

Tambahnya, pihaknya kini dalam proses mengenal pasti syarikat-syarikat baharu untuk dipertimbangkan sebagai panel pengeluar benih padi sah bagi tempoh tiga tahun akan datang. 

“Sehingga kini, sebanyak 81,000 beg telah pun diedarkan kepada Selangor, Perak dan Pahang melalui agen rasmi yang berlesen melalui PPK.

“Penggunaan BPS oleh pesawah amat penting kerana dapat mengatasi padi angin di samping meningkatkan mutu pengeluaran padi dan beras negara secara konsisten,” katanya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed