by

Pisahkan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara

News Sources:

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya mengasingkan kuasa antara Pejabat Pendakwa Raya dan Pejabat Peguam Negara bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.

Ini termasuk memanfaatkan peranan Dewan Rakyat yang masih tergantung akibat proklamasi darurat sehingga 1 Ogos ini dalam menentukan pelantikan atau pemecatan seseorang Peguam Negara.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau pernah membangkitkan perkara tersebut kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semasa menerajui Pakatan Harapan (PH) pada Jun 2018 selepas PH berjanji memisahkan kedua-dua peranan itu.

Katanya, berdasarkan hansard di Dewan Rakyat bertarikh 24 Oktober 2018, beliau meminta Mahathir mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) dengan memisahkan kuasa Pendakwa Raya dari Peguam Negara bagi memastikan Pendakwa Raya dapat menjalankan fungsinya dengan penuh tanggungjawab.

“Pengasingan kuasa ini terkandung dalam manifesto PH dahulu kononnya akan segera dilaksanakan sebaik sahaja mengambil alih kerajaan. Namun dengan pelbagai kajian komprehensif masih berjalan sehinggalah PH tidak lagi berkuasa ia belum terlaksana.

“Hansard yang sama juga menyatakan bagaimana Ahli Parlimen Sepang (Mohamed Hanipa Maidin) yang merupakan Wakil Menteri Undang-Undang pada masa itu, secara jelas membalas bahawa tiada tarikh akhir ditetapkan ketika PH akan menunaikan janji itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu hadir berikutan pendedahan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas di dalam buku kontroversinya, berjudul My Story: Justice in the Wilderness yang dikatakan memperlekeh Jabatan Peguam Negara, pelantikan jawatan tertinggi kehakiman negara diputuskan Dr. Mahathir dan mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dalang kepada peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Dalam janji ke-15 manifesto PH pula menyatakan, Peguam Negara akan dilantik daripada kalangan anggota parlimen yang berkelayakan dan individu itu akan menjadi seorang menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan.

Jawatan Pendakwa Raya pula akan dipegang oleh individu lain yang bebas dan bertindak tanpa mengira kepentingan politik kepartian selain mengetuai Pejabat Pendakwa Raya Negara yang mempunyai autonomi dalam melaksanakan kuasa-kuasa pendakwaan.

Dalam pada itu, Azalina berkata, apa yang ada pada Peguam Negara tidak membolehkan pelaksanaan semak dan imbang dalam isu pelantikan dan penyingkiran peguam negara.

Katanya, apa yang terkandung di dalam penulisan buku memoir Tommy mengenai jawatan Peguam Negara dalam Perlembagaan hanyalah struktur lama di era baharu.

“Dalam konteks kemungkinan berat sebelah, bagaimana individu yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri sebagai Peguam Negara mampu menasihatkan kerajaan dan pada masa sama memiliki kuasa untuk mendakwa? Di mana semak dan imbangnya?

“Kena ingat bahawa jawatan Peguam Negara termaktub dalam Perlembagaan, jadi, Peguam Negara bukan mewakili badan eksekutif atau kehakiman. Ia seharusnya bebas,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed