by

PKP: Perlu pakej rangsangan baharu

News Sources:

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia mungkin sekali lagi terpaksa berhadapan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas kes jangkitan Covid-19 semakin melonjak naik.

PKP yang dilaksanakan pada 18 Mac 2020 telah menyebabkan ekonomi negara lumpuh dan mengalami kerugian sehingga RM2.4 bilion sehari.

Sehubungan itu, sekiranya kerajaan kembali melaksanakan PKP, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpandangan, negara memerlukan suntikan fiskal baharu yang lebih besar dan bersasar. 

Baharom bagaimanapun menimbulkan persoalan sama ada kerajaan mempunyai sumber pembiayaan kukuh lebih-lebih lagi selepas pembentangan Belanjawan 2021 iaitu terbesar dalam sejarah ditambah pula pakej rangsangan tambahan sebelum ini seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). 

Beliau turut berkata, ia disulitkan lagi dengan pampasan berbilion ringgit yang terpaksa dilakukan akibat pembatalan projek mega seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura. 

“Semua ini harus ditampung sama ada dengan pinjaman tidak kira dalam atau luar negara tapi kita semua maklum bahawa nisbah pinjaman Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sudah pun agak tinggi dan membimbangkan. 

“Walaupun begitu, jika kerajaan mempunyai keazaman politik yang kuat dan matang, ia dapat dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas hari ini bagi memaklumkan tindakan-tindakan yang diambil kerajaan mengambil kira situasi semasa penularan jangkitan Covid-19. 

Ia sekali gus menimbulkan khabar angin kerajaan mungkin terpaksa melaksanakan PKP sekali lagi. 

Dalam pada itu, Baharom yang juga Naib Presiden Persatuan Ekonomi Gunaan Asia Pasifik (APAEA) berkata, pelaksanaan PKP sekali lagi dilihat sebagai satu pukulan kepada ekonomi negara yang sepatutnya dalam fasa pengukuhan tetapi kini masih lagi berada dalam fasa pemulihan. 

“Sektor perkhidmatan dan pelancongan yang belum sempat pulih juga mungkin akan menerima tempias sekali gus menguburkan terus perniagaan sebahagian besar pengusaha dan meningkatkan jumlah pengangguran,” katanya. 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed