by

PKPD di Penjara Tapah, kuarters kakitangan esok

News Sources:

PUTRAJAYA: Penjara Tapah dan kuarters kakitangannya di KM12, Jalan Tapah, Daerah Batang Padang, Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan 55 kes positif Covid-19 direkodkan daripada 187 ujian saringan yang dilaksanakan ke atas kontak rapat.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi, kerajaan bersetuju PKPD di lokaliti ini bermula esok hingga 1 Mac depan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Pelaksanaan itu ujar beliau, untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melakukan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, petugas penjara dan kontak rapat yang terlibat.

Langkah PKPD itu katanya, bagi memastikan tiada jangkitan baharu dalam komuniti dengan prosedur operasi standard yang sama seperti di institusi kepenjaraan lain di seluruh negara.

Penjara yang dirasmikan Almarhum Sultan Perak pada 2006 dan berkeluasan 82 hektar dengan kapasiti selesa 2,061 banduan itu berasakan model Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan pelanjutan PKPD di Penjara Sungai Udang di Daerah Melaka Tengah, Melaka selama tempoh dua minggu lagi sehingga 2 Mac depan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan peningkatan kes masih berlaku dalam kalangan tahanan dan terdapat baki 21 sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya.

Bagaimanapun, tambahan PKPD itu tidak melibatkan petugas dan keluarga di kuarters serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di penjara itu yang tamat seperti dijadualkan esok.

Sehingga kini kata beliau, kementerian itu telah melaksanakan 1,234 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, secara kumulatif, sebanyak 331 kes positif telah pun direkodkan.

Penjara berkeluasan 53 hektar itu mula dibuka pada 2010 dengan kos RM305 juta yang mampu memuatkan 2,000 banduan bagi mengurangkan kesesakan di Penjara Banda Hilir.

Sementara itu beliau menambah, PKPD di Kampung Sungai Ud, Dalat, Sarawak ditamatkan mengikut jadual pada esok setelah cuma dua kes terakhir direkodkan pada 13 Februari lalu.

“Tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan selepas kesemua 2,042 ujian dibuat dengan secara kumulatif hanya sejumlah 41 kes positif direkodkan,” kata Ismail Sabri.

Turut ditamatkan PKPD pada esok katanya, ialah Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1, Felda Bersia di Daerah Hulu Perak setelah tiada kes baharu direkod sejak 3 Februari lepas.

Pihak Kementerian Kesihatan ujar beliau, sudah melaksanakan sebanyak 409 ujian saringan dengan hanya sejumlah 29 kes positif yang dicatatkan di keseluruhan lokaliti berkenaan. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed