by

PKPP dilanjut hingga 31 Mac, PKPB, PKPD diterus ikut jadual

News Sources:

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini bersetuju melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke seluruh negara yang  berakhir semalam sehingga 31 Mac depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu mengambil kira penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan setelah mendapati peningkatan kes agak ketara.

“Ini masih berlaku di seluruh negara dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan perintah ini juga telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan.

Namun, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa negeri dan lokaliti tertentu masih diteruskan seperti biasa.

Keputusan ini meliputi PKPB di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah serta PKPD di sejumlah kawasan ditetapkan mengikut tempoh masa yang diputuskan sebelum ini.

Kerajaan telah pun menguatkuasakan PKPP di seluruh negara mulai 10 Jun 2020 sebelum disambung lagi pada 1 September berikut dan sepatutnya tamat pada 31 Disember lepas.

Pelaksanaan terbaharu PKP Fasa 8 selama tempoh tiga bulan lagi ujarnya, antara lain ekoran peningkatan kes disumbangkan hasil pelaksanaan siri saringan wajib terhadap pekerja asing.

Proses itu dijalankan secara besar-besaran di beberapa negeri tumpuan dan juga akibat dari penularan dalam komuniti yang dikesan terutama di Lembah Klang dan beberapa negeri lain.

“Justeru, segala prosedur operasi standard (SOP) PKPP adalah terpakai bagi tempoh kuat kuasa diwartakan tertakluk perubahan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Ismail Sabri menjelaskan, antara aktiviti yang masih di bawah senarai terlarang bagi kawasan PKPP adalah di pub dan kelab malam, kecuali perniagaan restoran dalam premis tersebut.

Selain itu tambah beliau, larangan turut meliputi apa-apa aktiviti dengan kehadiran ramai di sesuatu tempat sehingga menyukarkan SOP bagi usaha pelaksanaan penjarakan fizikal.

Namun ujarnya, aktiviti pelancongan berdasarkan ketetapan diumumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum ini perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan.

“Orang ramai dinasihatkan terus mematuhi SOP, amalkan memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan memberi amaran kepada sesiapa tidak patuh norma baharu itu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya elak tempat sempit, sesak atau bercakap rapat bagi mencegah diri daripada dijangkiti pula virus Covid-19 dalam kalangan anggota komuniti.

PKP mula dilaksanakan sejak 18 Mac tahun lalu, namun, dilanjutkan kepada Fasa 2, 3 dan 4 sebelum PKPB pula bermula pada 13 Mei sehingga 9 Jun lepas apabila PKPP diperkenalkan.

Cabaran tahun baharu 2021 jelas Ismail Sabri, adalah lebih besar bukan sahaja bagi negara, malahan dunia kecuali semua pihak patuhi SOP dan kawalan kendiri untuk kekal selamat

“Marilah kita mulakan perjalanan 2021 ini dengan tekad dan azam untuk terus bersama-sama dalam mendepani apa jua cabaran khususnya memerangi wabak Covid-19,” tegas beliau. -UTUSAN ONLINE

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed