by

PLKN bukan penyelesaian pupuk perpaduan

News Sources:

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas pandangan pelbagai pihak sebelum ini tentang ketirisan perpaduan dan formula untuk mewujudkan kembali perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Mewujudkan perpaduan masih sukar dilaksanakan kerana pelbagai halangan.Pada masa sama terdapat cubaan daripada beberapa pihak bagi menghalangnya yang semakin menyukarkan usaha itu. Pastinya sukar dan sudah tentu tidak kesampaian sampai bila-bila.

Pada pandangan saya, hanya terdapat satu formula untuk membentuk perpaduan, iaitu dengan mewujudkan sekolah satu aliran.

Melalui Sekolah Wawasan, ia dapat membentuk kefahaman yang tinggi dan saling mempercayai antara kaum, selain memahami Perlembagaan Persekutuan yang menjaga hak kaum tertentu dan pada masa sama tidak meminggirkan hak kaum lain.

Sekiranya Perlembagaan sudah difahami, maka tidak mungkin langkah untuk membentuk perpaduan disalah erti dan tidak timbul pula sikap prejudis kepada sesuatu kaum.

Apabila rakyat sudah ada kefahaman tentang pembentukan negara melalui perpaduan, maka dasar yang telah digubal seperti Dasar Perpaduan Negara, Pelan Tindakan Perpaduan Negara dan Indeks Perpaduan Negara boleh berjalan seiringan dan menjadi pemangkin untuk menyemai dan memantapkan perpaduan.

Justeru, hanya pendidikan yang disifatkan sebagai pendekatan secara tersirat (soft law) lebih sesuai untuk memupuk perpaduan berbanding Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dilihat berasaskan pendekatan keras (hard law).

Pendekatan melalui pendidikan satu sekolah menjadi tempat memupuk perpaduan yang ampuh kerana pelajar akan belajar, bermain dan berkawan dalam jangka masa lama. Sudah tentu dengan sendirinya dapat mengeratkan hubungan dan keharmonian antara kaum dapat dibentuk.

Rasanya ramai yang tidak bersetuju untuk menangani isu perpaduan ini menggunakan pendekatan secara undang-undang keras seperti PLKN dan mengadakan kerahan tenaga.

Bagi saya, pelajar sekolah menengah sudah terlambat untuk didisplinkan, tambahan pula sesi PLKN untuk satu tempoh yang pendek iaitu kira-kira dua bulan sahaja. Selain itu, kehadiran mereka pula seolah-olah dipaksa mengikuti modul dan tidak ada rekod untuk mengetahui sejauh mana lepasan PLKN menjadi insan yang diimpikan oleh negara.

Justeru, Kementerian Perpaduan Negara hendaklah melihat kembali cara menguruskan isu perpaduan di negara majmuk ini. Kita sendiri tidak pasti secara tuntas adakah kementerian telah berjaya atau gagal menangani isu perpaduan di Malaysia. Kajilah manakah pendekatan paling berkesan sama ada secara keras atau tersirat.

ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed