by

Polis kesan ketua kongsi gelap Ngo Seik Kee

News Sources:

JOHOR BAHRU: Polis Johor sedang memburu ketua geng kongsi gelap Ngo Seik Kee yang terlibat dalam kes bunuh seorang penarik kereta di Kilometer 40.1 Lebuhraya Utara Selatan minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek, Tan Kim Boon, 36, dipercayai masih bebas dan berada di negeri ini dengan alamat terakhirnya di Taman Bukit Pasir, Batu Pahat. 

Beliau berkata, kumpulan kongsi gelap itu terlibat dengan kegiatan menarik kenderaan dan aktiviti berkaitan dadah.

“Geng penarik kereta ini akan tarik kenderaan yang gagal membayar ansuran bulanan kepada bank tapi tidak serahkan kepada bank sebaliknya menjual kenderaan tersebut pada harga yang lebih murah.

“Kenderaan itu juga dilekatkan dengan pelekat kereta sebagai tanda perlindungan geng tersebut yang membolehkan kereta itu bergerak di negeri ini dan tidak boleh keluar kawasan. 

“Punca pergaduhan apabila mangsa yang juga ahli geng kongsi gelap dari Selangor datang tarik sebuah kenderaan jenis Toyota Velfire di sini. Ini boleh dikatakan pergaduhan antara geng kongsi gelap kerana masuk kawasan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini. 

Pada 20 Disember lalu, seorang penarik kereta yang dikenali sebagai Ram ditemukan mati di dalam longkang di Kilometer 40.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sedenak, Kulai dekat sini.

Mangsa berusia 34 tahun itu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan beberapa tetakan dan kecederaan pada anggota badan serta kepala.

Susulan kejadian tersebut, Polis Johor telah menahan 12 individu dipercayai daripada geng kongsi gelap Ngo Seik Kee berusia lingkungan 17 hingga 31 tahun dalam beberapa tangkapan berasingan. 

Semalam, lima ahli geng kongsi gelap tersebut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kulai berhubung kes tersebut. 

Ayob Khan berkata, kegiatan menjual kereta tarik yang didalangi geng kongsi gelap itu bukanlah perkara baru. 

Katanya, pembeli kenderaan tersebut perlu membayar kepada geng kongsi gelap berkenaan sebagai duit pelindungan kira-kira RM100 sebulan agar tidak ditarik oleh kumpulan penarik kenderaan yang lain. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed