by

Prebet Ujang Mormin selamat dikebumikan di Pusara RAMD Port Dickson

News Sources:

PORT DICKSON: Jenazah Allahyarham Prebet Ujang Mormin selamat dikebumikan di Pusara Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dekat sini pada pukul 2.15 petang tadi. 

Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berusia 100 tahun pada tahun ini itu, meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, Selangor, semalam. 

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, pengebumian veteran terakhir perang dunia kedua itu dilaksanakan mengikut norma baharu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini. 

“Tentera Darat berhasrat untuk memberikan penghormatan penuh istiadat ketenteraan kepada Allahyarham Prebet Ujang Mormin namun situasi terkini akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP tidak membolehkan istiadat tersebut dilaksanakan seperti mana seperti kelaziman.

“Bagaimanapun, pengebumian di pusara RAMD ini sudah memadai untuk menunjukkan penghormatan yang tinggi diberikan kepada Allahyarham yang merupakan penghargaan dizahirkan oleh Tentera Darat buat veteran perang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) selepas Majlis Pengebumian Prebet Ujang Mormin dekat sini hari ini. 

Yang hadir sama pada majlis berkenaan, cucu saudara Ujang, Lailawati Jamil, 59.

Dalam pada itu, seramai sembilan orang pengusung jenazah daripada pihak Kementerian Kesihatan yang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) terlibat sepanjang upacara pengebumian dan pengendalian jenazah yang berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19. 

Allahyarham meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Sungai Buloh selepas dijangkiti virus tersebut hasil saringan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.

Ujang kemudian dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Januari lalu ekoran faktor usia serta keadaan kesihatan buah pinggangnya.

Berasal dari Kampung Kundur, Rembau, Ujang adalah rakan seperjuangan Allahyarham Leftenan Adnan Saidi dan pernah bersama-sama bertempur dengan pahlawan negara itu di Pasir Panjang ketika tentera Jepun menyusup ke Singapura pada Perang Dunia Kedua.

Sementara itu, menurut Zamrose, pihaknya akan berusaha untuk memastikan agar Allahyarham Prebet Ujang tidak akan dilupakan apatah lagi hilang dari lipatan sejarah ketenteraan sebagai seorang pejuang tanah air dan veteran perang. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed