by

Prosiding 1MDB dilewatkan untuk Najib hadir kes Rosmah

News Sources:

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang berhadapan dengan perbicaraan kes berprofil tinggi, 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) memohon supaya prosidingnya dilewatkan sedikit esok.

Ia bagi membolehkan beliau untuk menghadiri keputusan kes dihadapi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohammed Zaini Mazlan akan membuat keputusan sama ada memanggil Rosmah membela diri atau bebas daripada tuduhan rasuah bernilai RM187.5 juta serta dua pertuduhan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta. 

Ketika prosiding 1MDB sebentar tadi, peguam bela yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon kepada Hakim, Collin Lawrence Sequerah supaya membenarkan anak guamnya hadir ke prosiding berkenaan.

“Mohon diberi kebenaran supaya perbicaraan bermula sedikit lewat kerana anak guam hendak memberi sokongan kepada isterinya esok,” kata Shafee sebentar tadi.

Sejurus selepas itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bangkit memberitahu Collin beberapa anggota pasukan pendakwaan juga akan berada di mahkamah berasingan esok.

Hakim kemudian membenarkan permohonan tersebut dengan waktu perbicaraan dianjak dari 9 pagi kepada 10 pagi esok.

Ketika ditemui pemberita, Shafee berkata, Najib memohon untuk berada di samping Rosmah ketika keputusan kes rasuah itu diumumkan esok.

“Beliau mahu berada di samping isterinya beri sokongan moral, emosi ketika keputusan dibacakan, tidak kira dipanggil untuk bela diri atau sebaliknya,” ujarnya di lobi mahkamah.

Sekiranya di perintah untuk membela diri, Rosmah mempunyai tiga pilihan – sama ada berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan, memberikan kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Ataupun memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Pada 11 Dis lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk bekas Pegawai Khas Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.

Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, 46, yang didakwa dengan empat tuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah atas projek berkenaan.

Bagaimanapun pada 8 Jan 2020, sebelum perbicaraan bermula, mahkamah membebaskan Rizal daripada tuduhan setelah pihak pendakwaan menarik balik keempat-empat tuduhan terhadapnya dan Rizal kemudian menjadi saksi utama pendakwaan. -MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed