by

PRU-15 perlu ambil kira situasi semasa Covid-19

News Sources:

IPOH: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat kerana wabak Covid-19 masih belum menunjukkan tanda pemulihan.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, ketika ini keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara menjadi keutamaan berikutan wabak berkenaan dan bukannya mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat atas faktor mahu membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

“Tempoh kerajaan hari ini baru setengah penggal, bermakna ada dua setengah tahun lagi. Dalam tempoh itu, perkara yang dibimbangkan ialah ketidakstabilan kerajaan sekarang yang akan menyumbang kepada kejatuhan ekonomi dan tiada pelabur mahu datang untuk melabur.

“Namun janganlah hanya disebabkan kita hendak membentuk sebuah kerajaan yang stabil maka pilihan raya tetap mahu diadakan dalam keadaan Covid sekalipun, kerana ia akhirnya akan meruntuhkan semuanya, ekonomi runtuh dan segalanya runtuh.

“Saya harap semua pemimpin akan mengambil kira pandangan ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Khas Mahasiswa Terkesan Covid-19 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, semua pihak juga perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang tetap diadakan semasa wabak Covid-19 belum reda.

Menurutnya, akibatnya situasi Covid-19 bertambah buruk di seluruh negara selepas PRN negeri itu.

“Kita kena akui gelombang ketiga Covid-19 barangkali sedikit sebanyak disumbangkan PRN Sabah.

“Atas faktor itu juga maka kita buat keputusan darurat di Sabah dan Gerik,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, tiada petanda PRU-15 akan dilaksanakan dalam masa terdekat susulan penularan wabak Covid-19 yang belum reda.

Selain PRU-15, Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak juga dalam keadaan samar-samar untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

Perkara itu didedahkan sumber pihak berkuasa yang memaklumkan pelaksanaan PRU-15 dan PRN bergantung kepada keberkesanan vaksin Covid-19 yang bakal diperoleh kerajaan. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed