by

Pulau Pinang penyumbang eksport terbesar 

News Sources:

KUALA LUMPUR: Sebanyak lima negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi penyumbang eksport terbesar negara iaitu meliputi 80.2 peratus eksport keseluruhan pada 2019. 

Jabatan Perangkaan dalam penerbitan pertama Statistik Perdagangan Malaysia Mengikut Negeri 2020 melaporkan Pulau Pinang menjadi negeri pengeksport terbesar dengan nilai RM284 bilion, diikuti Johor (RM201.8 bilion) dan Selangor (RM196.8 bilion). 

Menurut Jabatan Perangkaan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula masing-masing mencatatkan eksport berjumlah RM81.6 bilion dan RM34 bilion. 

Pada  2019, kata Jabatan Perangkaan, eksport keseluruhan negara berjumlah RM995.1 bilion, susut 0.8 peratus dari 2018 dengan kadar import turut turun sebanyak 3.5 peratus kepada RM849.4 bilion. 

“Penurunan didorong oleh eksport lebih rendah terutamanya oleh Sabah yang turun RM7.2 bilion, Terengganu susut RM4.7 bilion, Johor (RM3.3 bilion), Sarawak (RM2.5 bilion), Melaka (RM1.8 bilion), Kuala Lumpur (RM1 bilion), Kelantan (RM1 bilion), Pulau Pinang (RM800 juta), Perak (RM400 juta) dan Perlis (RM200 juta). 

“Walau bagaimanapun, beberapa negeri mencatatkan peningkatan eksport iaitu Pahang yang naik sebanyak RM12.2 bilion, Kedah (naik RM3 bilion), Selangor dan Negeri Sembilan meningkat RM1 bilion serta Wilayah Persekutuan Labuan naik RM400 juta,” katanya dalam kenyataan. 

Pada masa sama, Jabatan Perangkaan memberitahu, penyusutan import pula disebabkan import lebih rendah dari Selangor yang susut sebanyak RM9.6 bilion; Pulau Pinang (RM7.9 bilion); Kedah (RM2.8 bilion); Perak (RM2.1 bilion); Kuala Lumpur (RM1.8 bilion); Melaka (RM1.6 bilion); Negeri Sembilan (RM1.1 bilion; Sarawak (RM1 bilion); Johor dan Perlis sebanyak RM400 juta; Sabah (RM300 juta) dan Pahang serta Kelantan turun RM200 juta. 

Hanya Terengganu dan Labuan masing-masing merekodkan peningkatan import sebanyak RM1.7 bilion dan RM600 juta. 

Menurut agensi statistik itu, secara keseluruhan, perdagangan Malaysia mencatatkan eksport bersih sebanyak RM145.7 bilion disumbangkan terutamanya oleh Pulau Pinang yang naik kepada RM106.2 bilion; Sarawak melonjak kepada RM61.4 bilion, Johor (RM25.2 bilion) dan Pahang  (RM11.8 bilion). 

“Produk utama eksport pada 2019 adalah litar elektronik bersepadu dengan nilai RM171.6 bilion atau 17.2 peratus daripada keseluruhan eksport negara. 

“Barangan elektrik dan elektronik lain merupakan produk eksport kedua tertinggi iaitu sebanyak RM94.5 bilion atau 9.5 peratus daripada jumlah eksport, manakala keluaran petroleum bertapis ketiga tertinggi dengan nilai RM61.8 bilion atau 6.2 peratus,” jelasnya. 

Dalam pada itu, China terus menjadi destinasi eksport utama negara pada 2019 dengan nilai eksport sebanyak RM140.9 bilion atau 14.2 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia. 

China adalah destinasi eksport utama bagi Pulau Pinang, Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur.  – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed