by

Pusat Pemulihan Akhlak Muar kena PKPD, Kondo Sierra East ditamat

News Sources:

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Pemulihan Akhlak di Muar Johor bermula esok sehingga 6 Januari depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia susulan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan yang mendapati kadar kebolehjangkitan tahanan di situ adalah tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan saringan menyeluruh semua kontak rapat kes positif melibatkan 773 tahanan dan juga 127 kakitangan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Sehingga kini ujar beliau, pihak kementerian itu telah pun melakukan 726 ujian saringan dan merekodkan sebanyak 20 kes positif dalam kalangan tahanan di pusat pemulihan tersebut.

Premis berkenaan yang dijadikan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia sebagai Pusat Transit Penerimaan Banduan sejak bulan lepas malah telah menyaksikan peningkatan kes Covid-19.

“Prosedur operasi standard (SOP) di pusat ini sama seperti tempat lain yang dikenakan PKPD antaranya tiada pergerakan keluar masuk selain lawatan ahli keluarga,” kata Ismail Sabri lagi.

Sementara itu, PKPD di Kondo Sierra East, Persiaran Paya Terubong, Relau di Pulau Pinang ditamatkan hari ini iaitu lebih awal daripada dijadualkan yang sepatutnya hingga 31 Disember.

Keputusan itu jelas beliau, ekoran tiada kes positif direkodkan hasil ujian saringan terhadap kesemua penghuni lokaliti berkenaan yang dilaksanakan oleh pihak kementerian terbabit.

Penilaian risiko oleh pihak kementerian itu kata Ismail Sabri, bahkan mendapati, majoriti penduduknya turut tiada kaitan dengan mana-mana kluster yang pernah dilaporkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, PKPD di kawasan flat sekitar lokaliti Mukim 13 Daerah Timur Laut itu tetap berjalan seperti biasa sehingga tamat sebagai mana dijadualkan 31 Disember ini,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed