by

Rasuah: Bekas pegawai Jabatan Perikanan didenda RM25,000 

News Sources:

MELAKA: Bekas Penolong Pegawai Perikanan Jabatan Perikanan negeri didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan RM4,000 pada 2017.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Abd. Rahim Ali, 63, yang mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu penolong pegawai perikanan yang bertugas di cawangan pengembangan dan pemindahan teknologi telah menerima suapan wang tunai RM4,000 daripada seorang individu, Rahim Maarof, 60. 

Tindakan itu dilakukan tertuduh sebagai upah untuk memberikan kerja-kerja pembekalan tong insulasi 75 liter sebanyak 90 unit bagi program touch point jabatan berkenaan. 

Kesalahan itu dilakukan tertuduh antara pukul 11.30 pagi hingga 1 petang di Jabatan Perikanan Melaka di Batu Berendam dekat sini pada 8 Ogos 2017.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat yang memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Tertuduh diwakili Peguam Augustus Walter C.N. Jacobs, bagaimanapun merayu hukuman ringan diberikan.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM25,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed