by

Rayu stesen janakuasa hidroelektrik di Chini

News Sources:

PEKAN: Penduduk di Felda Chini di sini merayu kepada kerajaan khususnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya membina sebuah stesen janakuasa hidroelektrik bagi keperluan lebih 20,000 pengguna di kawasan tanah rancangan berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peneroka Felda Chini 1, Abdul Ghafar Abdul Hamid, 67, berkata, buat masa ini bekalan tenaga elektrik kepada pengguna di tanah rancangan berkenaan adalah dari stesen hidroelektrik di Muadzam Shah, Rompin.

“Bagi menampung keperluan pengguna di Felda Chini ini, saya merasakan sudah sampai masanya kita di sini pun memiliki sebuah stesen janakuasa hidroelektrik sendiri, mini pun sudah memadai.

“Ia merupakan satu keperluan, jika tidak menjelang bulan Ramadan ini, baru hendak suap nasi sahaja, bergelap (tiada elektrik) sampailah ke solat tarawih, itu yang berlaku selalu pun,” katanya di sini semalam.

Abdul Ghafar berkata, tanah rancangan itu sudah mempunyai sebuah stesen janakuasa elektrik di Felda Chini 4, namun hampir 10 tahun tidak beroperasi.

“Apa yang kita mahukan bukan pengoperasian semula stesen janakuasa itu, tetapi sebuah stesen janakuasa hidroelektrik seperti di Muadzam Shah.

“Jika dikira pengguna di tanah rancangan ini yang melebihi 20,000 orang, adalah wajar kita di sini memiliki stesen janakuasa hidroelektrik,” katanya.

Beliau menegaskan, jika tidak, masalah gangguan bekalan elektrik pasti akan berlaku setiap bulan sekali gus membebankan penduduk di situ.

“Jika kira-kira satu jam tidak ada masalah lagi, tapi kadang-kadang gangguan yang berlaku dua ke tiga hari baharu bekalan itu pulih,” katanya.

Beliau berharap kerajaan khususnya TNB mempertimbangkan perkara itu demi memastikan pengguna di tanah rancangan berkenaan hidup selesa tanpa gangguan bekalan elektrik yang terlalu lama. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed