by

Rebab alat muzik `bersusu’ yang mistik

News Sources:

Siri 1

Bunyinya kasar, namun gemersik. Melodi yang terhasil saat penggesek menari di atas tali, menggemakan aura “mistik dan misteri” yang bisa membuat si pendengar asyik dan terpesona lalu terbuai menekuni setiap runut bunyi.
Itu pengalaman wartawan Mingguan Malaysia tatkala mendengar alat muzik tradisional bernama rebab dimainkan.
Menurut Pegawai Kebudayaan Kanan, Universiti Malaya (UM) yang juga pemuzik tradisional profesional, Mohd. Asrulfaizal Kamaruzaman, 41, rebab tonggak utama sesebuah melodi, khususnya dalam persembahan Makyung.
“Ia memainkan melodi yang lebih lirikal berbanding instrumen lain, seolah-olah alat ini berkata-kata kepada pendengar.
“Kelebihan rebab ini, ia mampu mengartikulasikan nada tinggi dan rendah serentak, yang mana ini tidak mampu dibuat dengan alat muzik lain. Maka tak hairan kalau rebab menjadi ‘pembuka’ melodi serta pengenalan dalam persembahan teater Makyung,” katanya, baru-baru ini.

ASAL USUL
Menurut Ensiklopedia Britannica, rebab atau dalam bahasa Arab disebut rababah, merupakan instrumen bertali pertama di dunia, malah merintis kepada kewujudan alat muzik tradisional Eropah iaitu rebec.
Mohd. Asrulfaizal memberitahu, nama rebab pertama kali muncul sekitar abad ke-10, dan merupakan tunjang utama muzik Arab.
“Dalam konteks serantau pula, dahulu rebab ini dirujuk sebagai alat muzik bertali dua atau tiga. Turki misalnya, rebab di sana ada tiga tali, sama seperti di Thailand dan Malaysia. Namun di Indonesia, ada rebab yang bertali dua sahaja,” katanya.

MUZIK MAKYUNG
Katanya, di tanah air, kelahiran rebab bergerak seiring dengan kemunculan muzik bangsawan Kelantan, iaitu Makyung.
“Makyung lahir di istana Melayu Patani kira-kira 400 tahun lampau dan kemudian tersebar ke negeri di Timur Semenanjung, terutamanya Kelantan. Seiring perkembangan muzik itu, rebab turut muncul bersama Makyung, melengkapkan seni itu sebagai satu kesepaduan.
“Ini bermaksud, tanpa Makyung, rebab tak boleh berdiri dengan sendirinya dan begitulah juga sebaliknya,” katanya.
Menurut beliau, rebab lazimnya dimainkan bersama lagu-lagu tertentu yang simbolik.
“Ini termasuk lagu yang kini sudah tidak lagi dimainkan, termasuk ‘Gading Bertimang’, ‘Pandan Wangi’ serta ‘Rimau Soyok’. Punca kenapa lagu-lagu ini tidak lagi dimainkan, antaranya kerana ia terlalu sukar dibawa oleh generasi muda susulan komposisi, melodi dan kemahiran yang kompleks,” katanya.

SUKAR DIMAINKAN
Katanya, sepanjang puluhan tahun berkecimpung dalam industri muzik tradisional, beliau berpendapat rebab merupakan instrumen paling sukar dimainkan.
“Bercakap soal anatomi, atau ‘tubuh’ rebab sahaja pun sudah cukup rumit. Meskipun pembuatannya ringkas, hanya ada beberapa komponen asas dan dipasang tiga tali sahaja, namun kerana keringkasan itulah memerlukan kemahiran luar biasa mengawal instrumen ini,” tegasnya.

REBAB ‘BERSUSU’?
Mohd. Asrulfaizal memberitahu, komponen utama rebab adalah badan dan penggesek.
“Badan rebab terdiri daripada bahagian yang mirip badan manusia, maka sebab itu rebab ini istimewa, seakan-akan cerminan diri kita. Ada kepala, leher, telinga (iaitu tuning peg), tempurung iaitu bahagian yang menghasilkan bunyi dan istimewanya rebab ini kerana ia ada apa yang dipanggil ‘susu’,” jelasnya.
Menurut beliau, ‘susu’ pada badan rebab itu ialah satu bahagian, biasanya diletakkan pada bucu kiri badan, bertindak sebagai peredam bunyi.
“Susu ini diperbuat dari ‘belalai sarang lebah kelulut’, iaitu lilin dari sarang lebah. Ia berfungsi menghasilkan bunyi rebab yang ‘besar’, kasar tapi merdu,” katanya.
Katanya, penggesek rebab pula mirip penggesek biola.
“Dahulu, penggesek ini dibuat menggunakan urat dan serat batang pisang yang dikeringkan. Adakala, orang dulu-dulu turut menggunakan bulu ekor kuda. Tapi kini, kita hanya menggunakan tali tangsi sahaja,” jelasnya yang turut memiliki kemahiran membuat rebab secara profesional.

PELIHARA WARISAN
Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan memelihara dan mempertahankan rebab, sebagai antara simbol identiti bangsa.
“Unesco kini sudah mengiktiraf Makyung, maknanya rebab juga secara tak langsung diiktiraf sebagai warisan kita.
“Tidakkah kita berasa malu, sedangkan pihak luar beria-ia mahu mempertahankan warisan ini, kenapa pula kita semakin meminggirkan rebab? Mengapa saya cakap rebab ini terpinggir? Lihat sahajalah nasib menimpa muzik makyung di Kelantan,” katanya mengakhiri perbualan.

NOTA: Nantikan sambungan rencana ini dalam ruangan Seni dan Budaya, Mingguan Malaysia minggu hadapan. Pada ruangan itu nanti, Mohd. Asrulfaizal berkongsi lebih lanjut kisah di sebalik pengharaman Makyung di Kelantan.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed