by

Remaja cemas tersangkut pada pokok 

News Sources:

SUNGAI PETANI: Remaja melalui detik cemas apabila tersangkut selama dua minit pada sebatang pokok berangan setinggi 15 meter ketika melakukan sukan luncur udara atau paragliding di Bukit Penjara, Pantai Merdeka dekat sini semalam.

Muhammad Zulhakimi Zulkifli, 15, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.15 petang ketika dia mengemudi payung paragliding di ruang udara berhampiran bukit itu bersama beberapa peluncur lain. 

“Pada masa itu, angin tidak kuat sangat, cuma, saya yang silap kerana terlebih menarik ‘brek’ ke kiri menyebabkan payung berpusing sebelum tersangkut pada sebatang pokok sebesar dua pemeluk di tempat kejadian. 

“Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana sempat berpaut pada sebatang pokok kecil yang terletak hampir dengan pokok besar itu sebelum membuka abah-abah payung berkenaan untuk  membolehkan saya menggelongsor turun dengan selamat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kata anak ketiga daripada enam beradik itu, dia kemudian menghubungi rakan-rakan peluncur lain melalui ‘walkie talkie’ memaklumkan keadaan dirinya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Tiada sesiapa yang datang menyelamatkan saya pada ketika itu kerana sebagai peluncur saya telah diajar bagaimana menghadapi situasi sedemikian.

“Malah, saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden pertama kali dialami sejak mula menceburkan diri dalam sukan paragliding ini lebih setahun lalu,” 

katanya.

Menurut pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda di sini, kejadian tersebut sedikit pun tidak melemahkan semangatnya untuk terus ‘terbang’ lagi selepas ini.

“Ini merupakan kali keenam saya meluncur berseorangan dan kejadian ini akan dijadikan pengajaran dan pengalaman berguna semasa mengemudi payung di udara bagi mengelak kemalangan di masa hadapan,” katanya.

Muhammad Zulhakimi, anak seorang nelayan merupakan peluncur termuda dalam sukan paragliding bagi kawasan Pantai Merdeka dan menyertai sukan ekstrim itu bersama bapa saudaranya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed