by

Remaja maut ditikam gara-gara tegur abang ipar

News Sources:

GOMBAK – Tindakan seorang remaja lelaki yang tidak puas hati dan menegur abang iparnya yang mengeluarkan kata-kata kesat dan kurang sopan terhadap emaknya berakhir dengan kematian pada Ahad lalu.

Suspek yang berang kerana remaja itu mencampuri urusan rumahtangganya mula bertengkar lalu menikam remaja itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, polis menerima aduan pada jam 8.40 malam daripada seorang perempuan yang memberitahu bahawa adik lelakinya yang berumur 17 tahun cedera parah akibat ditikam oleh abang iparnya dan telah meninggal dunia Hospital Selayang.

“Kejadian berlaku di kawasan tempat letak kereta di tepi sebuah blok perumahan di Jalan Pinggiran 3/1 Taman Pinggiran Batu Caves.

“Bertindak atas maklumat pada 7 dan 8 Februari 2021, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah membuat tangkapan ke atas seramai empat lelaki dan lima perempuan tempatan di sekitar Batu Caves disyaki terlibat dalam kes pembunuhan ini untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, siasatan awal mendapati semasa kejadian berlaku pertengkaran mulut di antara suspek dengan isteri dan juga keluarga isteri.

Katanya, ia berpunca daripada keengganan isteri suspek untuk tinggal bersama-sama disebabkan kurang selesa kerana rumah suaminya (suspek) turut dihuni oleh adik beradik suspek yang lain.

“Dalam insiden tersebut telah berlaku pertengkaran mulut, provokasi dan pergelutan di antara suspek dan mangsa yang mana mangsa tidak berpuashati dengan suspek kerana
mengeluarkan perkataan tidak baik kepada emak mangsa.

“Akibat pergelutan dengan mangsa, suspek mengalami kecederaan di bahagian dada manakala mangsa mengalami kecederaan kesan tikaman di bahagian bawah dada.

“Seterusnya mangsa dibawa ke Hospital Selayang dan telah disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam oleh doktor bertugas,” ujarnya.

Arifai berkata, mayat remaja itu telah dihantar ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Tambah beliau, polis juga telah menemui dan merampas sebilah pisau lipat berukuran 17 sentimeter di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan di dalam kejadian tersebut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan kesemua suspek berusia 25 hingga 72 tahun telah direman selama tujuh hari mulai semalam hingga hingga 14 Februari ini untuk siasatan lanjut,” tegas beliau.-MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed