by

RM202,909 lesap diperdaya Macau Scam

News Sources:

ALOR SETAR: Seorang peniaga haiwan ternakan rugi  RM202,909 diperdaya sindiket Macau Scam yang menggunakan taktik mangsa mempunyai tunggakan cukai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa berusia 32 tahun mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang individu mengaku sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Isnin lalu. 

“Wanita itu mengaku sebagai pegawai LHDN dan mendakwa terdapat tunggakan cukai atas syarikat milik mangsa. 

“Selepas mangsa menafikan berlaku tunggakan tersebut, panggilan disambung kepada seorang individu lain yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat inspektor dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk membuat pengesahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, panggilan tersebut sekali lagi disambung kepada seorang individu yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat ‘Datuk’ dari IPK Pahang dan kononnya pegawai atasan inspektor terbabit.

“Datuk berkenaan meminta peniaga itu membuka aplikasi WhatsApp sebelum mangsa menerima mesej mendakwa dia terlibat dengan kes pengubahan wang haram serta penjualan dadah,” ujarnya.

Ujarnya, mangsa yang sudah berkahwin dan berasal dari Sungai Petani kemudian diarahkan membuka satu pautan URL untuk mengisi maklumat peribadi kononnya bagi membantu pihak berkaitan melakukan siasatan.

Tanpa melakukan sebarang semakan, katanya, mangsa menuruti arahan tersebut selain turut memberikan butiran syarikat miliknya.

“Mangsa akhirnya merasa curiga dengan apa yang berlaku lalu memeriksa baki akaun syarikatnya dan mendapati terdapat lapan pindahan wang secara dalam talian melibatkan wang berjumlah RM202,909 ke enam akaun bank berbeza pada hari sama.

“Lelaki itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Baling semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed