by

Saluran khusus DidikTV dilancar bantu pelaksanaan PdPR

News Sources:

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan Pengajaran  dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian diakui masih belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh yang singkat. 

Ini kerana, kata beliau, sebahagian besar murid tidak memiliki peranti sesuai selain faktor kekangan akses kepada internet.

Namun begitu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa peka berhubung situasi itu dan prihatin dengan cabaran yang dihadapi murid, guru dan ibu bapa dalam tempoh sukar ini. 

Justeru, kata beliau, sebagai salah satu inisiatif dalam mempelbagaikan sumber pembelajaran serta membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian,  kerajaan buat pertama kalinya dalam sejarah memperkenalkan DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai saluran khusus TV Pendidikan.

“KPM (sebelum ini) menyediakan slot program TV Pendidikan secara terestrial yang disiarkan di TV Okey RTM, Tutor TV Astro dan [email protected] yang mula disiarkan sekitar  tahun 1972 telah melalui pelbagai evolusi dalam aspek kandungan siaran dan kaedah penyampaian. 

“Pada 1 Mac 2008, TV Pendidikan secara terestrial telah ditukar kepada format dalam talian melalui portal  EduwebTV dan seterusnya ditamatkan pada 1 Januari 2009. 

“Namun demikian, KPM telah mengambil inisiatif menghidupkan  kembali slot program TV Pendidikan secara terestrial pada awal tahun  lalu, iaitu semasa PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020 sebagai  usaha untuk membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui televisyen,” katanya ketika berucap melancarkan DidikTV KPM itu menerusi saluran NTV7, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, saluran khusus itu  merupakan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

Muhyiddin berkata, ia akan menyiarkan program-program berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM dengan pengisian dari pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap  hari. 

Selain itu, katanya, ia turut mengandungi penyiaran berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat pra sekolah hingga tingkatan 6, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid. 

“Kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan.

“Saya yakin bahawa DidikTV KPM akan dapat membantu  pelaksanaan PdPR, khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian. Ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama-sama anak-anak,” katanya. 

Muhyiddin turut berharap saluran Didik TV akan menjadi platform untuk memperkasakan lagi budaya ilmu, menerapkan nilai murni dan mewujudkan masyarakat  berinformasi.

Beliau turut berkeyakinan ramai dalam kalangan warga pendidik mempunyai kemahiran dan kepakaran menyampaikan kandungan pembelajaran secara kreatif sekali gus menghargai usaha guru-guru yang begitu komited mendidik anak murid dalam apa jua keadaan.

Namun katanya, segala usaha itu memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pemegang taruh dan masing-masing bersatu hati melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan agenda besar pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan generasi pewaris negara. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed