by

Sambutlah Hari Krismas secara sederhana, elak penularan Covid-19 – PM

News Sources:

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat yang meraikan sambutan Hari Krismas agar merayakannya secara sederhana dengan mematuhi garis panduan, amalan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Kata Perdana Menteri, kemeriahan sambutan Hari Krismas tahun ini pasti berbeza ekoran pandemik Covid-19 dan tentunya peluang untuk menziarahi ahli keluarga dan sahabat agak terhad.

Justeru, kata beliau, adalah lebih baik majlis rumah terbuka diadakan secara sederhana memandangkan penularan pandemik itu masih berleluasa.

Menurut beliau, walaupun kerajaan membenarkan orang ramai merentas negeri dan daerah sejak 7 Disember lalu, ia tidak bermakna amalan norma baharu dilupakan seperti pengambilan suhu badan, menjaga penjarakan fizikal dan tidak bersalaman.

“Cukup sekadar tunduk dan letakkan tangan di dada sebagai tanda hormat. Amalkan juga norma baharu lain seperti kerap mencuci tangan atau gunakan hand sanitizer serta pakailah pelitup muka dengan betul.

“Bagi tuan rumah yang menerima tetamu, bersihkan rumah anda dengan kerap. Jaga mak, ayah dan ahli keluarga kita yang telah berusia atau yang kurang sihat, kerana mereka lebih berisiko untuk terdedah kepada jangkitan Covid-19.

“Bagi yang bergejala seperti demam atau selsema, duduklah di rumah. Biarlah kita ambil langkah yang lebih berhati-hati supaya kita dan orang di sekeliling kita selamat dari dijangkiti wabak Covid-19 ini,” katanya dalam perutusan sempena Hari Krismas, di sini hari ini.

Muhyiddin turut mengambil kesempatan mendoakan supaya petugas barisan hadapan, anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan negara dan rakyat Malaysia di luar negara dapat menyambut Hari Natal dengan penuh kegembiraan.

Beliau memberitahu, Hari Krismas memberi peluang kepada rakyat Malaysia dalam negara majmuk untuk bersama-sama meraikan dan menyambutnya dengan penuh adat dan tradisi bersama ahli keluarga dan sahabat serta seluruh lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat meraikan semangat perayaan itu dengan menjadikan kepelbagaian kaum dan agama di negara ini sebagai satu kekuatan untuk membina negara.

“Jika dilihat daripada sejarah lampau, kewujudan pelbagai kaum dan agama yang saling menghormati adalah sumber keutuhan dan kemajuan sesebuah tamadun.

“Ini dapat dilihat dalam sejarah keharmonian hubungan antara masyarakat Kristian dan Islam di Andalusia suatu ketika dulu.

“Keharmonian dan hubungan baik antara masyarakat pelbagai agama dan budaya pada ketika itu mendorong Andalusia mencipta kemajuan dalam pelbagai bidang,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed