by

Sasar sejuta remaja jadi ahli KafeTEEN

News Sources:

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan untuk menambah sehingga sejuta remaja menjadi ahli program KafeTEEN pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sasaran itu tidak mustahil dicapai menerusi pelbagai program diatur seluruh negara termasuk penggunaan pusat ‘mobile’ atau bergerak.

“Setakat ini, kita ada sebuah trak diubah suai jadi premis mudah alih Pusat Remaja KafeTEEN dan saya berharap bilangannya ditambah kepada 10 buah dalam masa terdekat,” katanya.  

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program #JomChillOut @ KafeTEEN dan Pusat Remaja KafeTEEN ‘mobile’ di kejiranan Fasa B, Presint 8, di sini hari ini.

Ia anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Mohd. Nizar Zakaria dan Ketua Pengarahnya, Abdul Shukur Abdullah.

Terdahulu, Rina membuat kejutan apabila hadir dengan menyertai konvoi berbasikal bersama sekumpulan remaja Putrajaya sejauh kira-kira dua kilometer dari Kelab Tasik Putrajaya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini hanya 636,722 remaja mengambil bahagian dalam program itu menerusi 18 buah Pusat Remaja KafeTEEN yang tetap di 10 buah negeri sahaja.

“Jumlah yang aktif dianggarkan hanya 200,000 orang sejak pusat itu mula diwujudkan pada 2005, walhal banyak manfaat boleh diperoleh remaja termasuk khidmat kaunseling,” katanya.

Justeru, Rina berharap pusat bergerak yang akan diwujudkan itu dapat beri peluang kepada lebih ramai remaja terutama kawasan padat penduduk bagi mendapatkan perkhidmatan disediakan.

Ia bakal ditempatkan secara statik selama tiga hari dari 10 pagi hingga 5 petang dengan ada doktor dan kaunselor profesional di samping pelbagai aktiviti disusun untuk pengisian remaja.

Malah, Pusat Remaja KafeTEEN ini ujar beliau, komited bantu golongan muda dari 18 hingga 24 tahun dalam aspek kesihatan reproduktif dan sosial selain cungkil bakat dan kepimpinan.

“Sambutan diterima setakat ini agak baik dan inisiatif sebegini diharap direbut peluang yang mungkin remaja ada masalah tertentu tapi tidak tahu berkongsi dengan sesiapa,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed