by

‘Saya sangat setuju rentas negeri sambut Aidilfitri tapi…’

News Sources:

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi diberi insentif merentas negeri kepada mereka yang lengkap dua dos vaksinasi.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberi bayangan itu sekali gus membolehkan umat Islam dapat merentas negeri menyambut Aidilfitri pertengahan Mei ini.

“Saya sebenarnya memang sangat bersetuju (kebenaran rentas negeri) tetapi mereka ini perlu juga terlebih dahulu telah habis lengkap sempurna dua suntikan imunisasi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Kempen MyDebit anjuran Kementerian Kesihatan dan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Pada 22 Mac lalu, beliau telah memberi bayangan kebarangkalian besar ada enam petunjuk yang boleh dipertimbangkan bagi merentas negeri sempena Aidilfitri.

Kenyataan Adham itu turut disambut baik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika program sarapan bersama masyarakat Felcra Bukit Kepong di Pagoh, Johor pada 27 Mac lalu.

Ini disusuli reaksi positif Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang akhbar pada 30 Mac lepas.

Adham berkata, kelonggaran individu bebas merentas negeri sewajarnya diberi sebagai salah satu bentuk insentif menggalakkan masyarakat menerima vaksin.

Jelasnya, jika usaha itu dibenarkan pihak MKN, kemungkinan besar lebih ramai rakyat akan tampil segera sukarela bagi mendaftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Setakat hari ini, lebih tujuh juta penduduk Malaysia sudah daftar diri dan kita pun ada bincang dengan MKN setelah Perdana Menteri bangkit isu boleh rentas negeri bagi Aidilfitri,” katanya.

Adham turut membayangkan, lencana vaksinasi atau pengesahan lengkap dua dos dalam aplikasi MySejahtera akan dijadikan mekanisme untuk tujuan seperti permit merentas negeri.

Namun tegasnya, mereka yang telah lengkap dua kali suntikan berkenaan masih lagi perlu mengamalkan kebiasaan baharu termasuk prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam.

Situasi itu kata beliau, perlu diteruskan sebagai usaha mengekang risiko penularan kerana kementeriannya tidak mahu kes naik semula apabila rentas negeri dibiarkan tidak terkawal.

“Setakat ini, kluster rentas negeri yang baharu belum muncul semula, tetapi sebelum ini negeri yang paling banyak direkodkan sebab rentas negeri ialah Kedah diikuti Perak,” tambahnya.

Pada masa ini kata beliau, kebenaran rentas negeri dibenarkan untuk tujuan pelancongan domestik antara negeri terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mereka perlu menggunakan agensi pelancongan berdaftar untuk membolehkan kawal selia pergerakan pihak berkuasa selain individu sektor penting yang ada surat kebenaran polis.

Beliau turut memaklumkan sehingga kelmarin lebih 498,000 petugas barisan hadapan sudah menerima vaksin dengan sejumlah 260,000 individu daripada mereka telah lengkap dua dos.

“Ini menunjukkan PICK berjalan lancar dan saya yakin fasa kedua melibatkan 9.3 juta rakyat akan bergerak pantas dan mungkin fasa ketiga pun boleh dianjakkan lebih awal,” katanya.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed