by

Segera bayar royalti minyak kepada Pahang

News Sources:

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa membuat pembayaran wang ihsan terhadap kerajaan negeri Pahang susulan penemuan rizab minyak tambahan oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. di medan minyak Bertam, di Blok PM 307 sejak sembilan tahun lalu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bera, Khairul Nizam Mohamad Zuldin dalam satu kenyataan berkata, menerusi pendapatan tambahan kerajaan negeri melalui pembayaran tersebut, ia mampu menyuntik kesan positif terhadap aliran ekonomi negeri itu.

“Isu ini harus dibangkitkan semula mengenai soal pembayaran royalti supaya dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan dan jika diluluskan, perkara ini mampu membantu meningkatkan dan merancakkan lagi ekonomi negeri Pahang,” katanya.

Pada Mei tahun lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pernah meminta kerajaan Pusat mempertimbangkan semula bayaran royalti minyak atau wang ihsan kepada negeri itu.

Sekitar Oktober 2012, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan syarikat Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Lundin Oil menemukan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM 307.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan pemberian royalti sebanyak RM100 juta kepada kerajaan Pahang namun bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga 2014.

Petronas Carigali iaitu anak syarikat Petronas dan Lundin Oil merupakan usaha sama minyak dan gas atau Kontrak Perkongsian Pengeluaran.

Mengulas lanjut beliau antara lain menggesa kerajaan untuk mengadakan rundingan dalam usaha menyelesaikan isu berhubung tuntutan pembayaran wang tersebut dan bukannya meminggirkan atau mengendahkan perkara tersebut.

“Sebagai pemerintah yang prihatin dan mendengar suara rakyat, kerajaan Persekutuan haruslah mengotakan janji untuk melunaskan pembayaran wang ihsan tersebut yang boleh dimanfaatkan kerajaan negeri Pahang untuk pelaksanaan projek pembangunan dan program kebajikan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed