by

Shukri Zainal harap tuah Puisi Rindu

News Sources:

KUALA LUMPUR – Mengakui mengalami kemurungan pada tahun 2016 sewaktu mula berjinak-jinak dengan dunia seni, penyanyi baru, Shukri Zainal pernah merasa kesal dengan dirinya.

Ketika melalui fasa getir itu, Shukri atau nama sebenarnya Mohd Shukri Azam Zainal Abidin rancak mempromosi single sulungnya berjudul Sudahlah Sayang hasil ciptaan Zul 2 By 2 dilancarkan pasa 2 September 2016.

Hinggakan pada satu tahap, Shukri diberhentikan daripada kerja tetapnya sebagai pegawai di sebuah agensi perbankan dan  penyanyi berusia 34 tahun itu mengakui terlalu sibuk mengejar cita-cita sehingga gagal memenuhi komiten kerja.

Single pertama itu biar pun kurang meledak bagaimanapun beroleh peluang menjadi runut bunyi drama bersiri Sayang Papa Saya Tak dan Mawar Murni.

“Saya akui khilaf sendiri. Terlalu ghairah nak jadi penyanyi, saya tidak fikir langsung keutamaan kerja bank yang saya sudah ceburi sejak tujuh tahun tapi saya sedar dan akur setiap yang berlaku ada hikmahnya.

“Saya ada rekod mengesahkan pernah mengalami kemurungan. Ketika itu saya jadi lemah semangat, hilang selera makan, berat badan menurun dan macam macam lagi sampai kena ambil ubat anti depresi kerana mahu mengatasi masalah kebimbangan dan susah nak tidur.

“Saya cuba untuk bangkit semula dan berusaha mengeluarkan single kedua namun sering tertangguh kerana masalah kemurungan. Akhirnya pada 28 Februari 2019, saya berjaya juga hadirkan single berjudul Atas Cintamu garapan Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen,” katanya.

Bagaimanapun single kedua itu gagal menyerlah bakat Shukri yang ketika itu dikenali dengan nama Azam Smile.

“Selain masalah kekurangan promosi, masalah kemurungan dan kesihatan membataskan pergerakan saya. Saya sendiri mengakui ada kalanya seperti hilang arah dan tidak fokus dengan apa yang dimahukan.

“Malah ketika masih bekerja di agensi perbankan pun saya buat sesetengah perkara tanpa fikir panjang. Saya  amat menyesal dan insaf kerana memantis atau mencukur kening. Perbuatan itu terang terangan haram. Konon nak bergaya macam artis K-Pop.

“Tambah pula saya jenis yang mementingkan penampilan dan mengutamakan cara berpakaian yang kemas serta bergaya. Sekarang kalau ada tuntutan kerja, saya gunakan teknik solekan untuk menutup kening yang dipantis itu,” katanya.

Shukri Zainal pernah muncul dengan single berjudul Atas Cintamu garapan Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen.

Namun tahun 2021 yang baru bermula diharap dapat memberi sinar baru buat Shukri. Malah dia optimis dengan single ketiga berjudul Puisi Rindu dan meletakkan harapan tinggi kepada label muzik Kame Music Production.

Single ketiga itu ciptaannya sendiri.  Malah dia  bersama Avny sama sama menulis lirik. Lagu itu turut melakukan tribute kepada Allahyarham Datuk Nassier Wahab.

Malah atas nasihat ibu tercinta, dia juga menukar nama komersial yang asalnya Azam Smile dan kini menjadi Shukri Zainal

“Saya mula mengenali arwah Nassier Wahab  pada tahun 2016 dan diperkenalkan penyanyi Fazli Zainal. Kami boleh serasi dan rapat macam adik beradik. Malah arwah sendiri banyak memberi semangat dan galakan kepada saya. Arwah seorang pendengar yang baik dan tak lokek memberi nasihat.

“Tapi Tuhan lebih menyayanginya kerana sudah meninggalkan kita pada Disember 2019. Saya dapat idea menghasilkan alunan lagu ini tanpa lirik. Sejurus selepas solat, tiba-tiba ada alunan lembut berlagu dalam hati dan saya cepat-cepat merakamkannya menggunakan teknik “humming”.

“Selepas itu saya suarakan kepada Avny apa yang terlintas di hati. Lirik lagu ini mengambil masa dua hari untuk disiapkan. Lagu ini sebenarnya berkisarkan mengenai kesakitan yang ditanggung arwah semasa hayatnya. Kebetulan masa arwah sakit, saya tahu dan melihat keperitan yang cuba disembunyikan itu,” katanya

Kata Shukri lagi, penggambaran video muzik single ketiga ini ditaja sepenuhnya oleh Produksi Pure On Vission dengan kerjasama Rekasia Studios dan Align Creative Studios

Penggambaran itu dibuat pada Disember tahun lalu.

“Lebih menyentuh hati, video muzik itu penggambarannya dilakukan di kediaman rasmi arwah di Bukit Raja, Klang. Bekas pembantu peribadi arwah,  Aliff juga berlakon sebagai cameo.

“Keadaan semasa pengambaran sangat suram dan sedih bercampur baur kerana keluarga arwah juga turut serta melihat proses pengambaran dari awal hingga akhir. Saya sebak setiap kali memandang setiap sudut dalam rumahnya. Terasa seolah olah arwah masih ada bersama,” katanya.

Pernah bergelar pegawai bank.

Lagu Puisi Rindu sudah  boleh distrim di semua platform digital terpilih. Video muzik rasminya dilancarkan pada 5 Februari lalu di YouTube Kame Music Production

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mempunyai kelayakan dalam Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Islam Antarabangsa.

Shukri kini aktif di media sosial seperti di Twitter @shukrizainal_, Instagram @shukrizainalofficial dan  Facebook (Shukri Zainal)

Ketika berdepan situasi pandemik Covid-19, dia  aktif menerima permintaan paid review yang kebanyakannya tertumpu kepada makanan dan produk kesihatan kulit. – MalaysiaGazette

 



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed