by

Siasatan dalaman kes doktor dibuli – CUEPACS

News Sources:

MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta Kementerian Kesihatan menjalankan siasatan dalaman mengenai kes buli dalam kalangan doktor di negara ini. 

Presidennya, Adnan Mat berkata, isu tersebut perlu dipandang serius memandangkan hasil kajian yang dilakukan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendedahkan sebanyak 66.9 peratus doktor mengakui dibuli. 

Katanya, menurut kajian itu, kes terbabit melibatkan pengamal perubatan muda yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 35 tahun.

“Sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas termasuk melakukan siasatan dalaman untuk mengatasi masalah buli dalam kalangan doktor kerana budaya buli dalam alam pekerjaan terutama bidang profesional dan kritikal seperti mereka tidak boleh diterima.

“Gejala buli ini menjadikan emosi dan kualiti kerja pengamal perubatan terjejas dan paling menakutkan adalah ia melibatkan hal nyawa pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) Kali Ke-27 di sini hari ini. 

Menurut Adnan, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu juga menjadi penyumbang utama peratusan kes buli meningkat.

“Apatah lagi ketika pandemik ini dengan mereka tidak dapat rehat yang cukup, situasi suasana kerja di mana mereka juga berdepan cabaran mencari pengasuh untuk anak-anak. 

“Ini semua sebahagian daripada kekangan yang boleh ditakrif sebagai buli apabila ketua perkhidmatan terus menekan supaya mereka ini terus memberikan perkhidmatan dalam tempoh agak panjang, pada masa sama keluarga mereka juga berisiko tinggi dijangkiti wabak Covid-19,” katanya. 

Tambahnya, Kementerian Kesihatan juga perlu merangka dan menyediakan satu platform yang membolehkan mangsa buli mengutarakan masalah mereka tanpa menjejaskan identiti serta kedudukan sekiranya membuat aduan. 

“Pihak kami berharap, kerjasama antara CUEPACS dan MMA bersama kementerian akan berterusan bagi memastikan kes ini dapat dibendung sebelum ia menjadi barah atau budaya pekerjaan,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed