by

Sindiket ketum upah tonto awasi pihak berkuasa

News Sources:

GERIK: Sindiket pengedaran ketum dikesan menggunakan taktik licik dengan mengupah tonto bagi memantau pergerakan pihak berkuasa.

Helah itu bagaimanapun terbongkar selepas polis daerah Gerik mematahkan cubaan menyeludup daun ketum seberat 4,000 kilogram (kg) di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli berhampiran Sungai Lebey, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, polis menahan sebuah lori tiga tan dipandu lelaki berusia 31 tahun ketika pemeriksaan pada pukul 7 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas lori itu telah menjumpai 400 bungkus plastik hitam berisi 4,000 kg daun ketum dengan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM120,000.

“Siasatan ke atas pemandu berasal dari Kelantan itu mendedahkan terdapat lagi dua lelaki dipercayai tonto menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

“Berdasarkan maklumat itu, kita telah mengesan dan mengekori kenderaan berkenaan sejauh 30 kilometer sebelum ia terbabas di tepi jalan dekat Banding,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini hari ini.

Menurut beliau, modus operandi sindiket tersebut selain menggunakan lori kononnya untuk menjalankan aktiviti perdagangan, mereka turut mengupah tonto sebagai cara melepasi sekatan jalan raya.

Katanya, tonto itu berperanan sebagai pemberi maklumat dan berada di sekitar kawasan SJR untuk memerhati pergerakan pihak berkuasa.

“Tonto ini bergerak jauh di hadapan bagi mengenal pasti kawasan-kawasan selamat untuk lori membawa ketum itu untuk melepasi ‘point’ tertentu.

‘Bagaimanapun, selepas mendapati lori ditahan dan pemandunya ditangkap, tonto itu melarikan diri sebelum dua lelaki berusia 43 tahun dan 35 tahun ditahan,” katanya.

Menurut beliau, siasatan mendapati, sindiket itu turut merancang menukar pemandu lori dan nombor pendaftaran kenderaan selepas SJR di Kilometer 9 sebelum mereka memasuki Kelantan.

Katanya, bekalan daun ketum itu diambil dari Kedah untuk dibawa ke Kelantan sebelum diagihkan ke kawasan tertentu bagi pasaran tempatan.

“Ketiga-tiga suspek kini direman empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed