by

Sindiket orang tengah Program Rekalibrasi ditumpaskan

News Sources:

PUTRAJAYA: Meminta bayaran antaraRM1,000 hingga RM1,500 seorang. Itu jumlah wang yang diminta daripada setiap warga asing oleh sindiket orang tengah untuk menguruskan pendaftaran mereka dalam Program Rekalibrasi tanpa perlu membuat temu janji melalui Sistem Temujanji Online (STO), Jabatan Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan dengan penahanan dua orang dalang yang menipu warga asing dalam satu operasi khas di Pulau Pinang pada 7 Februari lalu.

Beliau berkata, risikan dijalankan kira-kira sebulan hasil kerjasama dan risikan Bahagian Perisikan, Analisa dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Putrajaya dan Pulau Pinang.

Katanya, hasil operasi tersebut, seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun dan seorang lelaki warganegara India berumur 35 tahun ditangkap kerana mengatur penyertaan Program Rekalibrasi yang bertentangan dengan prosedur dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Modus operandi sindiket ini adalah mengumpul warga asing yang mempunyai kesalahan Imigresen dan menjanjikan akan dibawa ke Pejabat Imigresen tertentu memandangkan warga asing berkenaan tidak mendapat slot temu janji melalui STO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu disyaki bergerak aktif di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor.

Ujarnya lagi, turut dirampas dalam operasi ini ialah sebuah motokar jenis Honda City dan wang tunai sejumlah RM4,000.00.

“Kedua-dua dalang sindiket ini ditahan atas kesalahan dibawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Tahanan lelaki warga tempatan dikenakan reman selama tujuh hari manakala tahanan lelaki warganegara India ditahan di Jabatan Imigresen Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam melaksanakan Program Rekalibrasi, Jabatan Imigresen tidak pernah melantik orang tengah atau mana-mana pihak untuk menguruskan program ini.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan orang tengah dan tidak menggunakan khidmat agen bagi menyertai Program Rekalibrasi ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed