by

Sindiket seludup, edar dadah di Lembah Klang tumpas

News Sources:

KUALA LUMPUR – Polis Selangor menumpaskan satu sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah di Lembah Klang yang didalangi dua warga tempatan.

Polis turut menahan dua warga Indonesia yang berstatus pemastautin tetap yang berperanan sebagai runner atau penghantar bekalan dadah dari negara jiran.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, keempat-empat suspek itu diberkas dalam empat serbuan berasingan di Puchong, Serdang, Kuchai Lama dan Cheras.

Katanya, Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen yang menjalankan operasi telah menyerbu tempat tinggal keempat-empat suspek itu pada jam 4 petang 3 Februari lalu.

“Hasilnya kami berjaya menahan dua lelaki warga tempatan dan dua warga asing di tempat letak kereta dan rumah mereka disyaki dalang kegiatan dadah itu yang kesemuanya berumur lingkungan antara 44 hingga 60 tahun.

“Dua daripada suspek berkenaan adalah warga asing memiliki status pemastautin tetap negara ini yang berperanan mendapatkan bekalan itu dari negara jiran dan menghantar kepada dalang tempatan di sini menggunakan kenderaan Toyota Altis secara aktif sejak November lalu,” katanya pada sidang media menerusi Google Meet hari ini.

Menurut Arjunaidi, hasil pemeriksaan membawa penemuan 13 bungkusan teh cina yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 13.39 kilogram yang dianggarkan bernilai RM602,550.

Tambah beliau, polis turut menemui 13 bungkusan plastik yang mengandungi 13,900 biji ekstasi bernilai RM250,000.

Jelasnya, pasukannya melakuan serbuan kedua di Kuchai Lama dan merampas 10 paket plastik lutsinar yang mengandungi dadah heroin seberat 4.4kilogram dengan anggaran bernilai RM48,000.

Kata Arjunaidi, jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah RM900,750 yang boleh diedarkan untuk kegunaan 49,480 penagih.

“Hasil soal siasat ke atas suspek mereka menjalankan pengedaran dan penyeludupan dadah berkenaan untuk kegunaan pasaran tempatan khususnya di Lembah Klang yang mana bekalan itu diperolehi dari negara jiran di Utara Semenanjung.

“Kini kesemua suspek direman mulai 4 hingga 10 Februari ini untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya sambil menambah dua daripada suspek itu didapati positif dadah terhadai ujian saringan yang dilakukan.

Semakan rekod mendapati dua suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau bersabit dadah, ujar beliau.

Katanya, polis turut menyita sebuah Proton Waja dan sebuah Toyota Altis bernilai RM78,000.

Sementara itu, Arjunaidi memberitahu, kini polis memperluaskan siasatan dan memburu saki baki ahli sindiket itu. – MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed