by

SKMM tingkat usaha tangani isu capaian di 6 lokasi

News Sources:

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi jaminan akan terus mempertingkatkan usaha dalam menangani isu capaian internet di negara ini.

Inisiatif tinjauan oleh agensi tersebut sedang giat dilaksanakan susulan laporan media tempatan yang membongkar masalah liputan lemah di enam lokasi tertentu baru-baru ini.

Antaranya kisah empat orang anak Lim Ai Gaik di Kampung Rambai, Padang Siding, Arau, Perlis yang mengeluh tidak dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Capaian didakwa perlahan dan mereka terpaksa berkongsi peranti. Susulan itu, SKMM telah mengarah penyedia perkhidmatan segera meningkatkan kualiti,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Agensi itu juga mengambil inisiatif dengan membawa keluarga tersebut ke Pusat Internet Komuniti (PIK) di Felda Chuping yang terletak hanya jarak lima kilometer dari rumah mereka.

Menyentuh laporan Utusan Malaysia mengenai kisah lebih 70 murid Orang Asli di Kampung Lubuk Legong, Mukim Siong, Baling, Kedah, SKMM juga menyiasat kesukaran capaian di situ.

Hasilnya, ia bukan disebabkan isu liputan kerana kualiti di situ amat memuaskan, sebaliknya disebabkan ketersediaan peranti bagi tujuan PdPR dan masalah itu diakui pengadu sendiri.

 Justeru, SKMM menjemput wakil PIK Kampung Lalang yang berdekatan untuk memberikan taklimat mengenai jenis perkhidmatan disediakan bagi pelajar memanfaatkan kemudahan di sana.

 Berhubung isu capaian internet di Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan yang dilaporkan sebuah akhbar, sebuah menara komunikasi dekat situ akan dinaik taraf.

 “Ini membolehkan liputan rangkaian 4G di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela)  dan dijangka siap akhir tahun ini sekali gus bantu lebih 300 murid sekolah di situ,” kata SKMM.

 Tidak ketinggalan, masalah capaian di Kampung Kuala Sat di Mukim Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang, satu tinjauan diadakan pada 1 Februari lalu dengan para penyedia perkhidmatan.

 SKMM malah mengadakan perjumpaan bersama pihak sekolah dan penduduk kampung itu yang hasilnya, beberapa menara komunikasi akan segera dinaik taraf kepada liputan 4G.

 Kenyataan agensi tersebut menambah, ia akan turut meliputi beberapa kampung di sekitar Ulu Tembeling di bawah Pelan Jendela yang dijangka bermula pada suku kedua tahun ini.

 Sementara itu, SKMM juga mengambil tindakan ekoran masalah liputan lemah di Kampung Selindang, Padang Tengku, Lipis, Pahang setelah melakukan lawatan pada 29 Januari lalu.

“Sebuah menara baharu bakal dibina manakala menara sedia ada berhampiran akan dinaik taraf kepada 4G bagi tingkat lagi perkhidmatan jalur lebar mulai suku kedua 2021,” katanya.

 Dalam pada itu, SKMM turut berkunjung ke Kampung Mentara Baru, Merapoh, Lipis, Pahang susulan permohonan penduduk agar liputan pencawang menara telefon di situ dinaik taraf.

 Menara sedia ada didapati tiada perkhidmatan 4G dan sebagai penyelesaian, kerja menaik taraf giat dibuat selain rangkaian gentian optik meliputi beberapa menara yang sedia ada.

 Pihak SKMM terus memantau segala perkembangan dan sedia mengambil tindakan lanjut agar aktiviti seharian penduduk berjalan lancar di seluruh negara tanpa masalah capaian. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed