by

Sokong Anwar, DAP tak pernah `direstui’ UMNO

News Sources:

KOTA BHARU: Memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mengadakan kerjasama dengan DAP, antara lima perkara yang tidak pernah diluluskan atau ‘direstui’ UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketetapan dibuat parti setakat ini dan tidak berubah biarpun terdapat pemimpin tertentu dikatakan pernah cuba-cuba berunding dengan DAP.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, tindakan tersebut tidak salah namun individu terbabit perlu bersikap lebih telus dengan cara memaklumkan kepada barisan kepemimpinan parti, bukan melakukannya secara diam-diam.

“Selagi saya tidak kena penyakit lupa-lupa ingat, baik dalam Biro Politik, MKT mahupun dalam perhimpunan agung, UMNO belum pernah buat keputusan memberi sokongan dalam apa jua bentuk kepada Anwar.

“Kita juga tidak akan mengadakan rundingan dengan DAP. Ini bukan Annuar Musa kata, ini parti yang kata. Saya berpegang ketetapan dibuat parti tetapi saya pula yang dituduh memandai-mandai dan cuba bawa haluan lain. 

“Ada pula yang dakwa, rundingan kerjasama dengan DAP dibuat kerana suara akar umbi. Saya nak tanya akar umbi mahu berbaik dengan DAP? Dia kata ketua bahagian. Itu bukan akar umbi, itu pucuk, itu suara ketua bahagian seorang,” kata beliau.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh 2020 di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, perkara ketiga dan keempat tidak pernah diluluskan UMNO ialah menolak kerjasama dengan Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan memutuskan untuk parti bergerak secara bersendirian.

“Ada pemimpin bercakap nak tolak Pas, nak tolak Bersatu. Itu pendapat masing-masing, tidak apa. Tetapi saya nak jelaskan, parti setakat ini tidak pernah putuskan sama ada untuk menolak Pas atau Bersatu, apa lagi nak bergerak secara ‘solo’,” katanya.

Kata beliau, perkara kelima tidak pernah diputuskan UMNO ialah bersetuju mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) sebagai parti politik kerana ia perlu kekal sebagai wadah yang mendokong gerakan penyatuan ummah.- UTUSAN

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed