by

SPR akur titah Seri Paduka pengisytiharan darurat

News Sources:

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai pengisyitiharan Proklamasi Darurat bagi membatalkan dan menunda pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Kedua-dua PRK itu sepatutnya dijadualkan pada 16 Januari ini.

Untuk itu SPR memutuskan tidak akan meneruskan PRK terbabit susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat terbabit.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, titah perkenan Seri Paduka itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pengisytiharan itu membolehkan suatu ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK bagi Parlimen Gerik dan DUN Bugaya.

“Sehubungan dengan pengisytiharan ini juga apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan PRK bagi Parlimen Gerik dan DUN Bugaya tidak akan diteruskan dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin dalam satu kenyataan memaklumkan perkenan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat terhadap Parlimen Gerik dan DUN Bugaya sebagai langkah proaktif membendung gejala Covid-19.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menyembah maklum akan nasihat Kabinet kepada Seri Paduka yang berpuas hati adanya keperluan pengisytiharan Proklamasi Darurat.

“Ini sekali gus membolehkan PRK Gerik dan Bugaya yang dijadualkan pada 16 Januari depan dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

“Dalam menyembah nasihat kepada Seri Paduka, Kabinet pada 4 Disember lalu membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah jika diadakan pada masa Covid-19 masih menular di negara ini,” katanya.

November lalu, Abdul Ghani mengumumkan PRK bagi Parlimen Gerik dan DUN Bugaya akan diadakan serentak pada 16 Januari tahun depan.

Kedua-dua PRK berkenaan perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Gerik dan DUN Bugaya susulan kematian kedua-dua penyandang kerusi tersebut.

Penyandang kerusi Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 November lalu manakala penyandang kerusi DUN Bugaya, Allahyarham Manis Muka Mohd. Darah kembali rahmatullah pada 17 November. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed