by

Sultan Kedah, Raja Muda kurnia sumbangan kepada sekolah, pelajar

News Sources:

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengurniakan sembilan set bantuan keperluan belajar kepada sekolah terpilih di negeri ini pada majlis Kurniaan Sumbangan di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Istana Anak Bukit, pada majlis itu, Sultan Sallehuddin mengurniakan sumbangan set keperluan belajar itu mengandungi televisyen pintar serta kemudahan saluran Astro (rancangan TVIQ dan Tutor TV) dan komputer riba.

Keperluan itu bertujuan memastikan sesi pembelajaran di sekolah terlibat dapat dilaksanakan dengan lebih menarik, interaktif dan selari dengan perkembangan semasa.

Turut berangkat mengurniakan sumbangan untuk warga pendidik dan pelajar itu ialah anakanda baginda, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Hadir sama pada majlis tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Mahmood Naim; Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang dan Timbalan Pengarah Pendidikan Kedah, Ahmad Shukri Shafie.

Majlis berkenaan yang pertama kali diadakan merupakan cetusan ilham baginda, Raja Muda Kedah dan Tunku Laksamana Kedah Datuk Seri DiRaja Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin sebagai usaha membantu rakyat jelata yang memerlukan terutama ketika berdepan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Raja Muda Kedah pula mengurniakan beg dan pakaian sekolah kepada sembilan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Kedah untuk disampaikan kepada sekolah dan pelajar yang memerlukan.

Sultan Kedah turut bertitah agar warga pendidik dan pelajar tabah dan terus berusaha walaupun dalam keadaan yang mencabar ketika ini.

“Warga pendidik boleh diibaratkan sebagai lilin yang memberikan cahaya dan menerangi jiwa para pelajar dalam membentuk seorang pemimpin pada masa hadapan,” titah baginda.

Selain itu, baginda juga menggalakkan penyertaan syarikat korporat, konglomerat, pertubuhan dan individu di negara ini turut membantu warga pendidik dan pelajar di negeri ini.- UTUSAN ONLINE

Habis





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed