by

Sultan Selangor dukacita dakwaan masjid, surau ditutup

News Sources:

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap dakwaan sesetengah pihak bahawa masjid dan surau di negeri ini ditutup sedangkan kedua-duanya dibuka dengan diberi kelonggaran mengikut situasi semasa Covid-19.

Sultan Sharafuddin turut dukacita dengan tanggapan segelintir masyarakat terhadap ketetapan yang dibuat baginda dengan menyatakan keputusan menghalang umat Islam untuk beribadah di masjid dan surau.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, beliau  dititahkan menghadap Sultan Sharafuddin bagi membincangkan beberapa perkara berhubung kelonggaran baharu yang diberikan kepada masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau seluruh negeri di Istana Bukit Kayangan, semalam.

Dalam perbincangan itu, kata beliau, Sultan Selangor berkongsi rasa dukacita berhubung masjid dan surau ditutup namun secara fakta kedua-duanya dibuka dengan diberi kelonggaran yang dikeluarkan JAIS.

“Bagaimanapun, kelonggaran ini tidak disiarkan kepada media kerana kerap berubah-ubah mengikut keadaan setempat. 

“Sultan Selangor bertitah agar kelonggaran yang diberikan dapar dimanfaatkan oleh ahli kariah untuk beribadah selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi semua jemaah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan berkata, Sultan Sharafuddin juga berdukacita dengan segelintir masyarakat yang beranggapan keputusan baginda menghalang umat Islam beribadah.

Menurutnya, baginda telah menyatakan sikap seperti itu adalah dilakukan oleh individu yang hanya pandai bercakap tanpa berfikir panjang.

“Keprihatinan baginda kepada kesejahteraan dan keselamatan semua rakyat negeri ini amat tinggi dan tidak mahu masjid dan surau menjadi tempat cetusan penularan baharu yang menambah jumlah bilangan klusteri sedia ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan berkata, semua masjid dan surau seluruh Selangor telah diberikan kelonggaran menunaikan solat Jumaat dan fardu lima waktu berkuat kuasa kelmarin.

Katanya, kebenaran itu meliputi Masjid Negeri (Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ) dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah dengan kapasiti seramai 500 jemaah bagi solat Jumaat dan 150 bagi solat fardu lima waktu.

“Bagi masjid pengurusan iaitu sebanyak 39 buah dan 17 buah masjid institusi pula masing-masing dibenarkan 300 jemaah untuk solat Jumaat dan 150 bagi (fardu lima waktu).

“Sementara itu, 40 jemaah termasuk pihak pentadbir dibenarkan bagi solat fardu lima waktu untuk seluruh masjid dan surau di negeri ini.

“Selain itu, untuk solat Jumaat di masjid dan surau kebenaran Jumaat di Klang, Petaling, Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat dan Gombak dibenarkan 40 jemaah tidak termasuk pihak pentadbiran. Sementara di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor pula mengikut 

kapasiti sebenar dewan solat utama selepas penjarakan 1.5 meter,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed