by

Sungai Perak menghampiri paras berjaga-jaga 

News Sources:

KUALA KANGSAR: Paras air di Sungai Perak menghampiri paras berjaga-jaga berikutan pelepasan air di empat empangan ekoran taburan hujan yang tinggi sejak minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, bacaan terkini paras air di Sungai Perak merekodkan data 32 meter di mana menghampiri paras berjaga-jaga iaitu 33.1 meter.

Bagaimanapun katanya, semua agensi berkaitan telah diarahkan membuat penyelarasan kemasukan dan pengeluaran air pada setiap empangan agar peningkatan air tidak terlalu drastik dan air yang dilepaskan tidak menyebabkan banjir. 

“Taburan hujan yang tinggi di seluruh negara dan sekitar empangan di bawah Empangan Temengor iaitu di Bersia, Kenering dan Chenderoh sejak 2 Januari lalu telah menyebabkan paras air meningkat dengan mendadak di semua empangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan sepanjang Sungai Perak.

“Kadar kenaikan paras air pada masa tersebut adalah membimbangkan dan boleh mendatangkan bahaya jika tidak diuruskan dengan segera,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau keadaan Sungai Perak di jeti Dataran Lembah di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Ahmad Munir Ishak dan Ketua Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak, Ir Mohd. Azhar Abd Rashid.

Menurut Mohd. Zolkafly, pihak TNB telah melaksanakan pelepasan air terkawal di Empangan Bersia dan Kenering sejak Khamis lalu bagi memastikan paras air di setiap empangan berada pada paras selamat dan terkawal.

Katanya, disebabkan jumlah aliran air yang tinggi, TNB bagaimanapun terpaksa meningkatkan kadar pelepasan terkawal di Stesen Janaeletrik Chenderoh sehingga 550 meter padu sesaat kelmarin bagi mengimbangi paras air empangan itu dengan jumlah aliran air dari Empangan Kenering dan sungai-sungai lain.

“Stesen Janaelektrik Chenderoh sejak Ogos lalu juga telah pun melaksanakan pelepasan terkawal sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh yang bermula pada bulan November.

“Paras air di empangan itu diturunkan pada paras yang minimum iaitu 59.5 meter dengan pelepasan terkawal kurang daripada 425 meter padu sesaat bagi memastikan paras air di sepanjang Sungai Perak berada pada paras terkawal dan selamat,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri telah mengarahkan semua agensi terlibat di daerah Kuala Kangsar dan Perak Tengah agar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku akibat peningkatan jumlah pelepasan tersebut.

“TNB dan agensi berkaitan akan terus memantau kenaikan paras air di sepanjang Sungai Perak dalam memastikan kesan akibat pelepasan tersebut adalah rendah dan minima,” katanya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed