by

Superman, 13 rakan dari Melaka dapat 60 saman

News Sources:

HULU TERENGGANU: Seorang ‘Superman’ berusia 17 tahun bersama 13 rakannya yang berkonvoi motosikal terkandas tidak dapat pulang ke Melaka selepas menerima 60 saman atas pelbagai kesalahan, semalam. 

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, kesemua remaja berusia dalam lingkungan 15 tahun hingga 23 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini antara Kilometer 417 hingga 411 di Ajil, kira-kira pukul 3.30 petang. 

Katanya, sekumpulan 13 penunggang motosikal dan seorang pembonceng itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas bercuti tiga hari di sebuah inap desa di Teluk Ketapang, Kuala Nerus. 

“Kumpulan itu memasuki lokasi operasi dengan seorang daripadanya yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 melakukan aksi berbahaya, ‘Superman’. 

“Skuad 42 bertindak mengekori kumpulan itu hingga mereka berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ajil lalu menahan penunggang ‘Superman’ itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd. Adli berkata, siasatan mendapati sebanyak 60 jenis kesalahan dilakukan kumpulan penunggang motosikal itu dengan keseluruhan 60 saman POL 257 dikeluarkan terhadap kesemua mereka. 

Katanya, antara kesalahan itu ialah tiada lesen memandu, tiada cermin sisi di samping cukai jalan, insuran dan lesen tamat tempoh serta tidak mempamerkan P dan brek tidak berfungsi. 

“Kesemua mereka dibawa balik ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan polis turut menyita tujuh motosikal mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

“Saringan ujian air kencing turut mendapati seorang penunggang berusia 21 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. UTUSAN ONLINE 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed