by

Syarikat langgar SOP bakal didenda RM50,000

News Sources:

KUALA LUMPUR – Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang mengenakan denda maksimum RM1,000 ke atas pesalah sedang dipinda.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, denda yang lebih sesuai untuk syarikat yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah RM50,000 kerana denda RM1,000 adalah terlalu rendah.

Ketika menerima wawancara Sinchew Daily, Ismail Sabri berkata, Jabatan Peguam Negara sedang melakukan kerja-kerja pindaan dan ia dijangka siap dalam masa terdekat.

Katanya, selain kenaikan denda membabitkan korporat, penalti untuk individu yang melanggar SOP juga mungkin dinaikkan.

“RM1,000 adalah tidak berkesan buat syarikat besar. Mereka melanggar SOP dan menyebabkan kluster baharu membabitkan pekerja yang banyak, tetapi hanya membayar denda RM1,000.

“Denda RM1,000 adalah terlalu rendah dan syarikat besar tidak memandang serius denda ini,” katanya kepada Sinchew Daily.

Ismail Sabari berkata, kelalaian pematuhan SOP oleh syarikat telah menyumbang kepada kluster jangkitan membabitkan sektor pembuatan dan pembinaan.

“Kelalaian mereka termasuk kegagalan menyediakan penginapan dan tempat kerja yang selamat untuk pekerja.

“Sebagai contoh, kluster terbesar adalah membabitkan syarikat sarung tangan, tetapi mereka hanya membayar denda RM1,000 iaitu sama dengan seorang rakyat yang melanggar SOP,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, selepas sektor pembuatan dan pembinaan yang menyumbang kepada kluster-kluster jangkitan, kerajaan juga mempertimbangkan untuk mewajibkan saringan COVID-19 untuk pekerja asing dalam sektor perkhidmatan makanan.

Mengenai pembukaan sektor ekonomi pula, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan membuka semua sektor secara berperingkat.

Jelasnya, kerajaan telah meminta agensi dan kementerian berkenaan untuk memberi cadangan mengenai sektor ekonomi yang patut dibuka.

Beliau berkata, perintah “berkurung” tidak boleh dijalankan kerana ekonomi akan mengalami kesan paling buruk.

“Dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan pada tahun lalu, banyak kilang telah tutup dan ramai yang hilang kerja.

“Pada masa itu terdapat bantuan kerajaan dan syarikat juga masih ada simpanan, ramai yang berjaya mengharungi keadaan sukar itu apabila ekonomi dibuka semula selepas penularan penyakit berjaya dikawal,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed