by

Syor lanjut PKPP dua minggu lagi

News Sources:

KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak melanjutkan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berakhir 31 Disember ini, paling kurang untuk tempoh dua minggu lagi.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof. Datuk Dr. Subramaniam Muniandy berkata, lanjutan itu susulan penularan Covid-19 belum menunjukkan perkembangan positif terutama ketika jumlah keseluruhan kes di negara ini sudah memlebihi 100,000.

“Kita maklum sejak pertama kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, ia memberi kesan teruk kepada negara dan rakyat.

“Adalah lebih baik jika PKPP diteruskan, cuma tidak perlu terlalu lama kerana khuatir menjejaskan pertumbuhan ekonomi,” kata beliau dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Selain itu, menurut beliau, pihaknya berharap kerajaan menguat kuasa dan mengetatkan lagi undang-undang supaya semua orang mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Meskipun kerajaan sudah melaksanakan hukuman denda RM1,000 bagi kesalahan kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan mencadangkan menaikkan kadar tersebut kepada RM10,000 tetapi angka jangkitan tidak berkurangan,” kata beliau.

PKPP kali pertama dimulakan pada 10 Jun hingga 31 Ogos lepas namun disebabkan peningkatan jangkitan mendorong kepada lanjutan PKPP bermula 1 September sehingga hujung tahun ini.

Menurut beliau, PKPP tidak terlalu menyekat pergerakan rakyat tetapi penguat kuasa diminta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar SOP.

“Soal PKPP, jika ada mana-mana kilang yang terkena jangkitan pandemik kerana tidak mengikuti SOP, jadi pihak berkuasa boleh mengenakan tindakan terhadap mereka. Jika PKPP ditamatkan serta-merta, ini yang akan jadi masalah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, sikap kurang berdisiplin pekerja asing dan ekspatriat dibimbangi akan terus meningkatkan kes positif jangkitan Covid-19.

Sehubungan itu, pihaknya mahu kerajaan meningkatkan penguatkuasaan membabitkan golongan berkenaan termasuk mewajibkan mereka mengambil ujian menerusi Polymerase Chain Reaction (PCR).

Bagaimanapun, beliau berkata, Perdim tetap menyokong keputusan kerajaan sama ada menyambung atau menamatkan PKPP yang berakhir Khamis ini.

“Lebih penting aspek penguatkuasaan perlu terus ditingkatkan sebab kita tidak bimbang rakyat negara ini tetapi warga asing dan ekspatriat yang masuk kerana kumpulan tersebut kadangkala tidak berdisiplin seperti rakyat Malaysia.

“Majikan perlu bertanggungjawab, kalau boleh semua pekerja asing diwajibkan melakukan ujian PCR. Ini perlu kerana sejak akhir-akhir ini jangkitan meningkat disebabkan pekerja asing dalam sektor pembinaan dan perkilangan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri meminta rakyat supaya terus mematuhi SOP bagi mengekang penularan pandemik berkenaan.

“Rakyat Malaysia majoritinya sudah sedar dan patuh SOP. Teruskan pematuhan ini kerana kita perlu bersama-sama membantu kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.- UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed