by

`Syurga’ nasi berlauk – Utusan Digital

News Sources:

MASYARAKAT Kelantan tidak sah kalau tak pekena nasi ketika sarapan. Mereka kata, perut tak ‘kejap’ (kuat) kalau tak makan nasi seawal pukul 7 pagi.
Antara hidangan yang sering menjadi pilihan untuk dinikmati adalah nasi berlauk. Nasi berlauk ini adalah panggilan untuk semua jenis nasi berlauk tidak kira berlauk ayam, ikan atau daging.
Nasi berlauk adalah kombinasi nasi putih yang dicampurkan sekali dengan gulai ikan, gulai ayam atau gulai daging. Ia perlu dilengkapi dengan sambal belacan resepi tradisi beserta ulam timun dan dibungkus sekali.
Kata mereka, bungkusan nasi ini tidak akan dimakan terus, sebaliknya perlu tunggu sekejap kerana ia lebih sedap dimakan jika nasi sudah sebati dengan kuah. Itu cara rakyat Kelantan makan pagi-pagi.
Mana-mana tempat di negeri ini pasti ada menjual nasi berlauk. Begitu juga di Twins Restaurant yang terletak berdekatan Jalan Bayam, Kota Bharu. Bagaimanapun, hidangan nasi berlauk di sini mempunyai citarasa tersendiri dengan rasa asli gulai nasi berlauk itu.
Menggunakan resepi turun-temurun, kesemua masakan gulai di sini dimasak pada awal pagi bagi memastikan kesegarannya. Ini kerana bahan utama adalah santan yang perlu diperah sendiri tanpa menggunakan santan kotak atau yang siap diperah.
Bahan-bahan yang digunakan seperti bawang dan rempah ratus turut dipastikan sukatan yang betul supaya gulai tidak cair dan cukup rasa. Jika tidak, rasa nasi berlauk tidak ‘menjadi’ dan tidak akan ‘melekat’ pada nasi. Itu rahsia kesedapan nasi berlauk.
Me­nurut pemilik Twins Res­taurant, Mohd. Faisal Sheikh Abdul Rahim, keenak­kan nasi berlauk di kedainya menjadi pilihan penduduk di sekitar Kota Bharu.
Ada juga antara pelanggannya yang tinggal jauh di daerah-daerah lain akan datang ke sini semata-mata untuk pekena nasi berlauk.
Selain itu, penduduk di luar negeri seperti dari Johor, Pulau Pinang dan Selangor akan singgah ke kedai makannya sebagai lokasi pilihan utama untuk sarapan pagi.
Selain nasi berlauk, Mohd. Faisal memberitahu, pelbagai hidangan lain turut disediakan seperti nasi kerabu ayam bakar, nasi dagang, selain laksa siam yang hanya ada pada hari-hari tertentu.
Ber­ope­rasi dari 6 pagi hingga 4 petang, Restoran Twin juga menye­diakan hidangan makan tengah hari dan sajian istimewa adalah sup tulang power.
“Pelang­gan perlu datang awal sebab biasanya makanan cepat habis. Kami tidak menye­diakan dalam kuantiti yang banyak demi menjaga kualiti.
“Pe­lang­gan boleh meng­hubungi kami terlebih dahulu untuk membuat tempahan awal,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Selain nasi berlauk, restoran ini turut menjual aneka kuih-muih tradisi Kelantan seperti Cekmek, Akok, pulut pagi dan pelbagai lagi yang dihimpunkan dari pembuat kuih terkenal sekitar Kota Bharu. – Mingguan Malaysia





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed