by

Takrif usia warga emas masih kekal 60 tahun

News Sources:

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat belum lagi memuktamadkan definisi perubahan umur warga emas daripada 60 tahun kepada 65 tahun.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, apa sebenarnya berlaku ialah cadangan pihak Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) ketika mesyuarat dipengerusikannya Khamis lalu.

“Saya tidak putuskan setuju pun, ia hanya merupakan cadangan dalam kertas perbincangan dan belum lagi menjadi dasar rasmi kementerian ini,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Terdahulu, beliau hadir melancarkan Program #JomChillOut @ KafeTEEN anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di kejiranan Fasa 4B di Presint 8.

Cadangan kenaikan had usia minimum warga emas itu dibentangkan oleh wakil JKM ketika sesi pertama mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara 2020.

Bagaimanapun, usul itu tular menerima kritikan ramai pengguna media sosial tempatan sebab dianggap tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia pada masa ini berbanding keadaan di Barat.

Umur warga emas ditetapkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bermula dari 65 tahun dan bukannya standard ulang tahun jubli emas Roman yang ditakrifkan sebagai genap 50 tahun.

Sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan had minimum orang tua untuk digelar warga emas ialah 55 tahun meskipun banyak negara Barat menetapkannya 70 tahun.

Mengulas lanjut, Rina berkata cadangan itu dikemukakan JKM setelah mengambil kira tahap peningkatan kesihatan rakyat negara ini yang lebih baik selain jangka hayat tinggi penduduk.

“Ini juga sejajar fasa Malaysia yang menuju ke arah status negara tua menjelang 2030 apabila jumlah penduduk berusia 60 tahun akan naik kepada 15 peratus pada tahun itu,” jelasnya lagi.

Namun, beliau mengakui ramai salah faham dengan cadangan JKM itu dan mungkin bimbang kerajaan akan menarik pelbagai keistimewaan layak dinikmati sehinggalah berumur 65 tahun.

Sebaliknya Rina memberi jaminan, kerajaan tetap prihatin dengan nasib kebajikan golongan itu termasuk menubuhkan lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas setiap kawasan parlimen.

Ketika ini jumlahnya ujar beliau, hanya 143 buah, malah peruntukan untuk semua pusat itu juga dinaikkan kerajaan mulai tahun depan daripada RM33,000 kepada RM50,000 setahun.

“Saya berharap tiada pihak cuba menimbulkan kekeliruan atau mempolitikkan isu ini kerana fokus kita bagi memantapkan kesejahteraan masyarakat khasnya institusi keluarga,” katanya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed