by

Talian hayat peniaga musim Covid-19?

News Sources:

KUALA LUMPUR – Penularan Covid-19 yang melanda seluruh dunia memberi kesan yang besar termasuk di negara ini khususnya daripada aspek ekonomi.

Angkara pandemik, pelbagai sektor ekonomi tidak lagi mampu beroperasi seperti kelaziman lebih-lebih lagi di Lembah Klang yang kini berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua.

Akibatnya ramai yang terkesan. Ada yang berhadapan dengan masalah kewangan apabila gaji dipotong malah lebih buruk, hilang pekerjaan.

Justeru mereka tercari-cari alternatif menambah pendapatan dan antaranya ‘terjun’ ke bidang perniagaan kecil-kecilan dengan harapan mampu meneruskan kelansungan hidup.

Namun mereka trauma apabila mendengar tindakan tegas pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyaman dan merobohkan gerai sekiranya tidak mempunyai lesen atau berniaga di kawasan larangan.

Cerita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) meroboh dan menghalau peniaga bukan satu perkara yang asing sebelum ini memandangkan akta dan peraturan PBT berkenaan

Atas keprihatinan kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan baru-baru ini memperkenalkan Wilayah Bebas Niaga (WBN) untuk peniaga kecil atau penjaja di ibu negara.

Inisiatif itu memberi peluang kepada warga kota terutama yang terkesan dengan pandemik untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan di mana-mana sahaja kawasan di ibu kota, supaya rakyat dapat menjana pendapatan dengan berniaga.

WBN dimulakan pada 15 November 2020 dengan memberi kebenaran perniagaan dijalankan menerusi Lesen Sementara KL Prihatin.

Ia diluluskan DBKL dan PBT berkenaan akan bertanggungjawab memberi kelulusan kepada permohonan untuk sesiapa sahaja warga kota yang berminat seterusnya memberi ‘sinar di hujung terowong’ kepada peniaga lama dan baharu.

Bagaimanapun bukan semua setuju dengan inisiatif WBN kerana ada pihak yang mempertikaikannya.

Ada yang kata ia memberi kesan negatif antaranya ‘pencabulan’ peraturan DBKL dan memberi impak buruk kepada peniaga yang mempunyai premis sedia ada di ibukota.

Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan bagaimana dengan tahap kebersihan sekiranya penjaja kecil semakin tumbuh melata sedangkan yang sedia ada tak tertampung masalahnya.

Mereka menjangka lebih banyak masalah akan timbul pada masa akan datang sekiranya penjaja terlalu banyak dibiarkan tanpa kawalan.

Namun ketegasan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memuktamadkan segalanya. WBN tetap dibenarkan kerana tidak mahu warga kota yang terkesan menjadi mangsa.

Namun bagaikan ditelan mati emak, diluah mati bapa, sudah tentu DBKL menjadi pihak yang akan bertanggungjawab untuk berhadapan dengan pelbagai keluhan, pertikaian seterusnya perlu menyelesaikan apa juga isu berbangkit susulan daripada inisiatif WBN.

Dalam masa yang sama DBKL perlu memastikan inisiatif itu mampu mencapai objektifnya – membantu warga kota yang terjejas akibat Covid-19 untuk menjana pendapatan.

Selepas dua bulan perlaksanaannya ternyata ia memberi talian hayat kepada peniaga dan mereka yang mengambil peluang daripadanya terutama di ibu kota.

Tinjauan mendapati rata-rata mereka mematuhi arahan DBKL baik daripada segi penjagaan kebersihan dan SOP yang ditentukan Kementerian Kesihatan.

Namun ada juga yang mula menyalahgunakannya dengan menggajikan warga asing dan ia dapat dikesan oleh DBKL sendiri.

Apa pun, majoritinya menganggap peluang yang ada dan prosesnya yang mudah bagaikan rahmat.

Mereka akur ia bukan untuk menambah pendapatan tetapi lebih untuk meneruskan survival dalam kemelut pandemik yang belum ada noktahnya lagi.- MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed