by

Tebing sungai runtuh, Tok Him sudah bersuara 5 tahun lalu

News Sources:

PASIR MAS – Kejadian tanah runtuh melibatkan sebuah rumah hari ini ada kaitan dengan sikap wakil rakyat yang tidak acuh dengan laporan yang dibuat mengenai kerosakan pada benteng Sungai Kelantan lima tahun lepas.

Ketua Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Bahagian Pasir Mas, Ir Suharto Mat Nasir berkata, dia masih ingat Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali yang mewakili Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) ketika itu telah menyuarakan masalah berkenaan.

“Ketika itu, kita dapat tahu benteng di kawasan sekitar Dataran Air Muleh mengalami kerosakan dan dalam keadaan hampir tumbang.

“Dr. Ibrahim kemudian menyuarakan masalah itu kepada Ahli Parlimen Pasir Mas ketika itu Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan kerajaan negeri, bahawa kawasan sekitar tebing sungai berkenaan tunggu masa runtuh jika tindakan tidak diambil segera.

“Bagaimanapun, suara kita tidak didengari dan kebimbangan kita menjadi kenyataan, apabila malam dan pagi tadi berlaku hakisan teruk menyebabkan rumah penduduk di Kampung Pohon Celagi runtuh dan musnah,” katanya kepada media hari ini.

Media hari ini melaporkan, kejadian tebing runtuh di Kampung Pohon Celagi di sini, semalam membimbangkan kira-kira 100 keluarga yang tinggal berhampiran Sungai Kelantan apabila sebuah dari kediaman mereka musnah.

Tanda-tanda hakisan dikesan sebulan lalu iaitu selepas berakhir musim tengkujuh menyaksikan wujud beberapa rekahan besar pada tebing dan jalan tar yang menjadi laluan utama ke kampung itu.

Menurut Ir. Suharto, kejadian hakisan dan tanah runtuh di kampung itu, yang terletak kira-kira 500 meter dari Dataran Air Muleh boleh dielakkan kalau benteng baharu dibina atau sekurang-sekurangnya membaiki yang sedia ada.

Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan Pas Kelantan tidak mempedulikan masalah dihadapi penduduk di situ, sehingga meletakkan mereka dalam kebimbangan dan kini menanggung derita akibat kehilangan harta benda dan tempat tinggal.

Katanya, Kampung Pohon Celagi terletak dalam DUN Pengkalan Pasir yang diwakili parti Pas sejak beberapa penggal lalu, tetapi tidak pernah diberi perhatian dari segi permasalahan benteng itu.

Beliau yang merupakan jurutera awam profesional berkata, tanah runtuh jarang berlaku secara tiba-tiba kerana air mengambil masa lama untuk meresap dan memenuhi tanah.

“Tetapi, apabila air dalam tanah telah terlalu banyak dan tidak boleh mengalir ke mana- mana, beban ke atas benteng akan bertambah, menyebabkan sistem ketahanannya lemah dan runtuh.

“Apatah lagi kalau benteng tersebut berada dalam keadaan rosak, tidak dibaik pulih dan tidak ada penyelenggaraan,” katanya.

Menurutnya, selain benteng, sistem saliran longkang di bandar Pasir Mas juga perlu diambil kira.

Ini kerana, kalau ada sistem saliran atau tidak, tetapi jika tidak sistematik air akan sentiasa meresap ke dalam tanah, yang akhirnya berlaku runtuhan.

Beliau menggesa wakil rakyat Pasir Mas sama ada ADUN atau Ahli Parlimen mengambil tanggungjawab bersama, jangan bermain dengan nyawa dan harta rakyat atau jangan tunggu berlaku musibah baharu hendak mengambil tindakan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penduduk tebing Sungai Kelantan ketakutan, rumah runtuh akibat hakisan



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed